Selasa, 16 Mac 2010

Umno jangan khianati wasiat Dr Aminuddin Baki - Kalam

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Pimpinan politik negara mesti menunaikan kembali wasiat tokoh pendidikan negara Dr Aminuddin Baki yang mendesak agar pendidikan negara dipisahkan daripada dasar kepartian dan penyelewengan politik yang tidak menguntungkan.

Ketua Satu Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Mohamad Daud Mohamad berkata, wasiat Aminuddin Baki yang diucapkan dalam sebuah acara seminar pada 1971 itu adalah panduan penting agar menteri pelajaran tidak tersasar dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

"Kita kenalah jelas, apakah menteri pelajaran hari ini menteri pelajaran Umno atau menteri pelajaran negara Malaysia? Adakah perdana menteri hari ini, perdana menteri Umno atau perdana menteri Malaysia?

"Kalau mereka menteri pelajaran dan perdana menteri Umno, hakikatnya mereka tidak layak memimpin kita, dan tidak layak jadi menteri pelajaran dan perdana menteri Malaysia," katanya ketika dihubungi erapakatan.com di sini, hari ini.

Di samping itu Mohamad Daud yang juga pengamat dan penulis politik semasa berkata, jasa pimpinan Pas terhadap pembangunan pendidikan Islam tidak boleh dikesampingkan dalam arus perdana.

"Rujuk semula buku berjudul Pemikiran bahasa dan sastera Zulkifli Muhammad dari perspektif Islam, karya Talib Samat, kita akan lihat peranan yang beliau mainkan dalam usaha pembangunan pendidikan Islam," tambah beliau.

Bekas pimpinan Pas itu, menjadi penggerak kepada penubuhan Kolej Malaya di Kelang, beliau juga adalah pencetus kepada idea penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan. Zulkifli turut terlibat dengan penubuhan Dewan Bahasa bersama Pendeta Za'ba.

Menyentuh hal pembaziran dalam alam pendidikan, Mohamad Daud berkata, peruntukan kempen pimpinan negara itu sepatutnya boleh disalur kepada pelajar untuk membiayai pengajian mereka.

"Pimpinan datang dengan gagasan sendiri. Masa Dr Mahathir, ada Wawasan 2020 dan lagunya, kemudian masa Abdullah Ahmad Badawi ada Islam Hadhari dan lagunya. Sekarang, masihkah ada orang yang menyanyikan lagu-lagu itu?

"Berapakah juta wang peruntukan yang dibazirkan selama ini? Saya difahamkan, dalam setahun ada RM3 juta wang yang diperuntukkan untuk kegiatan kebudayaan.

"Semua ini pembaziran. Lagu 1Malaysia, lagu Islam Hadhari, entah ke mana perginya lagu-lagu itu? Lama-kelamaan, orang pun sudah tak tahu lagu itu selepas habis dan tamat tempoh pemerintahan pimpinan ini," tambah beliau lagi.

Mohamad Daud turut menyentuh acara Semarak yang disusun Dr Mahathir, tetapi acara itu sudah berkubur begitu sahaja.

"Sekarang yang ada Kg Semarak sahaja. Berapa juta kos pertandingan mencipta lagu-lagu itu. Dulu, semasa Abdullah Ahmad Badawi, kita ada Modal Insan, sekarang PLKN terbengkalai, berapa banyak duit dah habis? Kalaulah semua wang ini boleh disalurkan kepada pelajar.

GPMS alat politik Umno?


"Semua acara parti ini sekadar gamat dan uar-uar sahaja. Lihat bagaimana ucapan Assalamulaikum sudah bertukar kepada Salam 1Malaysia. Selepas pilihan raya ke-13, jika Najib Razak tumbang, semua ini akan hilang seperti seruan Modal Insan tadi," tambah beliau lagi.

Mengulas wang yang dibazirkan Umno yang menurut beliau boleh disalurkan kepada pelajar, Mohamad Daud turut mengecam tindakan badan pelajar Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang kini diterajui oleh kalangan mereka yang bukan lagi bertaraf pelajar.

"Ia bukan lagi diterajui Melayu, tapi 'mamak'. Jadi, namanya sekarang, Gabungan Pelajar 'Mamak' Semenanjung. Apakah mereka perjuangkan hak biasiswa pelajar-pelajar Melayu kita? Jelas sekarang, GPMS sudah menjadi alat politik Umno.

"Alangkah baiknya jika wang peruntukan yang dibazirkan selama ini dijadikan wang biasiswa. Semua acara ini tidak lebih daripada usaha untuk mengampu dan membodek Perdana Menteri," katanya yang turut kesal dengan langkah kerajaan dalam pendidikan selama ini.

Antara dasar yang tidak jelas itu, menurut beliau, adalah penubuhan institusi pendidikan yang terlalu banyak menumpukan kepada teknologi.

"Sudahlah banyak kampus teknologi, kejuruteraan, ditambah dengan politeknik lagi. Mahasiswa Upsi pun sekarang sudah tidak tahu kita mahu letak di mana mereka ini. Khaled Nordin sebagai menteri pengajian tinggi tidak tahu menguruskan pengajian tinggi dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamad Daud berkata, acara 1Malaysia cuma membazirkan wang rakyat, bermotifkan politik kepartian dan ia bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat ke atas parti pemerintah.

"Ini semua akan mengulangi kegagalan acara Semarak yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir pada 1987," kata beliau lagi.

Untuk rekod, acara Semarak adalah kependekan daripada 'Setia Bersama Rakyat' yang digerakkan oleh bekas Menteri Penerangan Mohamed Rahmat merangkap Setiausaha Agung Umno ketika itu.

Dr Mahathir ketika itu memulakan kegiatan kempen mengelilingi Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan semangat cintakan negara, yang mana, acara itu sebenarnya lebih menjurus kepada tujuan memulihkan sokongan rakyat terhadap Umno.

Ketika itulah krisis Perlembagaan 1988 bermula yang akhirnya beberapa keputusan telah digubal untuk 'mewajibkan' Yang Dipertuan Agung menandatangani apa-apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Hal-hal demikian, turut berkait rapat dengan pergolakan dalaman politik Umno termasuk insiden pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas yang menyaksikan runtuhnya kepercayaan rakyat terhadap ketelusan institusi kehakiman sehingga kini.

Antara keputusan institusi kehakiman yang dicemari politik ialah kes mahkamah yang berat sebelah ketika memutuskan siapakah menteri besar Perak; antara Mohd Nizar Jamaluddin dan Zambry Abdul Kadir termasuklah isu kes fitnah liwat melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim melawan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiada ulasan: