Khamis, 4 Mac 2010

Tukar kotak ikan secara berperingkat

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Para pengimport bersedia menukar kotak ikan plastik kepada Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/ Pemborong Ikan dan Sumber Laut, Datuk Yusoff Ismail (gambar) berkata, bagaimanapun bagi kotak seberat 30 kilogram, para pemborong masih menggunakan kotak lama.

Jelasnya, ini kerana pengilang hanya mengeluarkan KIBFG untuk kotak-kotak seberat 50 dan 100 kilogram.

"Bagi kotak ikan 50 dan 100 kilogram kita akan mula tukar kepada KIBFG selaras dengan persetujuan dicapai setelah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semalam.

"Cuma, yang menjadi masalah sekarang ialah kilang masih belum keluarkan kotak seberat 30 kilogram dan pihak kami masih menjalankan rundingan dengan pihak kilang berkaitan hal tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ikan di Pasar Besar di sini hari ini.

Semalam, 35 wakil syarikat pengimport ikan dari Indonesia dan Thailand mengadakan perbincangan dengan Noh bagi menyelesaikan kemelut berhubung penggunaan KIBFG yang berlarutan sejak 2006.

Menurut Yusoff, kebanyakan pengimport ikan menggunakan kotak ikan seberat 30 kilogram dan sukar untuk mereka menukar kotak plastik kepada KIBFG jika tiada kilang mengeluarkannya.

"Kita telah mengenal pasti enam buah kilang yang boleh membuat kotak ini.

"Harga yang pihak kilang tawarkan juga lebih murah dan dapat menjimatkan kos para pengimport serta membantu mengurangkan risiko kenaikan harga ikan di pasaran negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Yusoff memberitahu, bekalan ikan di seluruh negara akan pulih menjelang esok.

"Hari ini ikan masih kurang di pasaran kerana bekalan yang dibawa masuk petang semalam masih belum sampai.

"Saya jamin esok ikan ada di pasaran dan harga ikan tidak akan melambung dengan penggunaan KIBFG," katanya.

Tiada ulasan: