Selasa, 2 Mac 2010

T'ganu jadi lokasi filem Bollywood

BERNAMA


Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah syarikat perfileman Bollywood yang merancang menjadikan negeri itu sebagai sebahagian daripada lokasi penggambaran filem terbaru mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata filem lakonan Rani Murkherjee itu, dijangka memulakan penggambaran di beberapa tempat menarik seperti Tanjung Jara, Tasik Kenyir, Muzium Negeri, Pulau Redang dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud mulai Mei ini.

"Kita yakin apabila filem itu mengadakan penggambaran di negeri ini, ia memberi kelebihan kepada Terengganu apabila tempat-tempat menarik dalam filem itu akan ditonton oleh peminat filem Hindi yang berada di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Primula Beach Hotel Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd di Kuala Terengganu petang ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menempah sebuah bot kaca berharga lebih RM3 juta bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan terutamanya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Ahmad berkata bentuk bot berkenaan seperti tongkang di mana bahagian dindingnya diperbuat daripada kaca bagi membolehkan pelancong melihat kehidupan laut manakala di bahagian atas pula akan menyediakan ruang makan dan minum.

"Kita buat sebuah dulu untuk lihat sambutan pelancong terhadap bot berkenaan. Kalau ia memberi sambutan yang baik, kita akan tambah lagi," katanya.

Tiada ulasan: