Ahad, 7 Mac 2010

Terus sokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang

BERITA MINGGU ONLINE


KUALA LUMPUR: Pas tidak akan meninggalkan pakatan pembangkang walaupun rakan sekutunya dalam pakatan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadapi krisis kepemimpinan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali, berkata Pas juga tetap memberi kepercayaan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang walaupun parti itu kini majoritinya berkurangan.

"Kerjasama Pas dalam pakatan terus dan tidak akan terjejas, malah kita akan mengadakan sambutan dua tahun pakatan di Pulau Pinang yang bermula 6 Mac (semalam) sehingga 10 Mac nanti.

"Mengenai kedudukan Anwar dalam Parlimen, oleh kerana bilangan PKR berkurangan berbanding DAP yang boleh tentukan adalah Ahli Parlimen Pembangkang. Soal ini tidak berbangkit dan Anwar akan terus diberi sokongan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen agak goyah apabila beberapa Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti, kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan parti itu.

Mustafa berkata, berdasarkan pengalamannya ada dua sebab pemimpin politik bertindak keluar parti, disebabkan masalah dalaman dan luaran serta tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu menghadapi krisis berkenaan.

Katanya, beliau yakin kemelut yang melanda PKR itu tidak akan berlaku dalam Pas dan menyifatkan pemimpin Pas tidak akan melompat parti kerana yakin terhadap dasar perjuangan parti.

"Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku dalam Pas kerana Pas ada pegangan konsisten...kita ada perjuangan dan yakin pada dasar perjuangan parti.

"Misalnya sebelum ini ada pemimpin Pas keluar parti, namun orang Pas tidak ikut pemimpin yang keluar parti, mereka ikut dasar parti," katanya.

Tiada ulasan: