Ahad, 7 Mac 2010

Tengku Razaleigh nafi isytihar diri bebas, tapi...

Chan Wei See



Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bakal mengisytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas, apabila dewan rakyat bersidang pada bulan ini?

Sumber maklumat dari PKR memberitahu MerdekaReview, bahawa Tengku Razaleigh Hamzah (gambar kiri) yang melontarkan kritikan secara terbuka kepada UMNO sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lantaran daripada isu royalti minyak di Kelantan, bakal mengisytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas.

Ketika menjawab soalan MerdekaReview melalui email, ahli parlimen Gua Musang, Kelantan ini menafikan bahawa dirinya akan berbuat demikian pada persidangan dewan rakyat yang akan datang. Walau bagaimanapun, beliau enggan meramalkan apa yang bakal berlaku pada beberapa bulan yang akan datang.

"Itu tidak benar. Tetapi sukar untuk memberitahu apa yang akan berlaku pada beberapa bulan yang akan datang. Sentiasa hubungi saya," (This is not true. However it's hard to tell what happens next over the coming months. Please stay in touch.) jawabnya secara ringkas.

Anwar bersemuka dengan Tengku Razaleigh?

Sebagaimana yang dimaklumkan, PKR terus berunding dan melobi Tengku Razaleigh agar keluar parti atau "melompat" ke PKR sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malah, dalam perundingan yang terbaru, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dikatakan sendiri bersemuka dengan Tengku Razaleigh. Menurut sumber, apa yang dibincangkan termasuklah keahlian UMNO Tengku Razaleigh dan peranannya sebagai ahli dewan rakyat bebas di Parlimen.

Ada sumber yang memberitahu MerdekaReview bahawa perbincangan tentang keluar parti belum mencapai persetujuan; namun ada juga sumber yang mendakwa bahawa muafakat telah dicapai antara Tengku dengan PKR, iaitu beliau akan memainkan peranan sebagai ahli parlimen bebas semasa persidangan pada Mac 2010. Tengku dijangka akan mengambil ketetapan dirinya, yang bercanggah dengan pendirian UMNO, misalnya dalam usul pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Zulkifli Noordin" dalam UMNO?

Dengan itu, Tengku Razaleigh akan memainkan peranan sebagai "Zulkifli Noordin (gambar kiri) dalam UMNO", menimbulkan masalah kepada UMNO yang menguasai gelanggang dalam pertarungan antara UMNO-Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Menurut sumber maklumat, ada pertimbangan strategi seandainya Tengku Razaleigh terus kekal bersama UMNO. Pertamanya, jikalau Tengku Razaleigh terus melompat ke PKR, maka anggota dalam PKR mungkin meragui kesetiaannya terhadap parti. Keduanya, seandainya Tengku Razaleigh melompat ke PKR, maka beliau akan kehilangan kredibiliti untuk menyerang UMNO. Sebaliknya, jikalau beliau masih bersama UMNO, beliau boleh menegur UMNO dengan identitinya sebagai anggota yang tidak tercemar dengan taktik kotor UMNO.

"Situasi yang paling memihak kepada beliau adalah, terus bersama UMNO," katanya. Bagaimana pula seandainya whip UMNO mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh? Sumber maklumat berkata, apa yang diinginkan oleh Tengku Razaleigh adalah pemecatan oleh parti, dan bukannya meletak jawatan sendiri.

Selain itu, apabila MerdekaReview cuba mengesahkan khabar ini dengan Syed Husin Ali (gambar kanan), Timbalan Presiden PKR, beliau hanya berkata "saya tidak tahu", sebelum menamatkan perbualan secara tergesa-gesa.

Tengku Razaleigh bercanggah pendapat dengan UMNO dalam isu royalti minyak di Kelantan sejak tahun lalu. Beliau yang menyokong agar negeri Kelantan dibayar royalti minyak telah berjanji kepada Anwar untuk mengetuai kaukus ahli parlimen dalam isu royalti petroleum. Perkara ini telah menggemparkan UMNO.

Tengku Razaleigh dikritik oleh rakannya dalam parti, malah diserang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikuasail oleh UMNO. Presiden UMNO, Najib Razak pernah berkata terpulang kepada ahli UMNO untuk menentukan sama ada Tengku Razaleigh harus diambil tindakan dalam isu ini. Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin pula mempertikaikan kesetiaan Tengku Razaleigh terhadap UMNO.

Tengku Razaleigh pernah menubuhkan dan mengetuai parti Semangat 46 pada tahun 1989, setelah tewas kepada Mahathir Mohamad dalam pergelutan kuasa UMNO pada tahun 1980-an. Dalam PRU pada tahun 1990, Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dan DAP untuk menentang BN. Bagaimana pun, Semangat 46 dibubarkan dan beliau masuk semula ke UMNO selepas tujuh tahun berjuang di luar UMNO.

Ong Tee Keat juga dilobi?

Selain Tengku Razaleigh, PKR dikhabarkan sedang melobi Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk isytihar dirinya sebagai ahli parlimen bebas, agar "menukar" persepsi bahawa "ahli parlimen bebas" kini kebanyakannya pro-BN. Ong Tee Keat jelas berada dalam kedudukan terancam, lantaran daripada pergelutan kuasa dalam partinya terkini.

Walau bagaimanapun, Ong Tee Keat (gambar kiri) gagal dihubungi MerdekaReview untuk mengesahkan khabar ini.

Sumber maklumat dalaman PKR berkata, wujudnya "kem ahli parlimen bebas" setelah beberapa orang ahli dewan rakyat PKR keluar parti. Malah, daripada kem ini, ahli pro-BN adalah majoriti. Seandainya PR berjaya menarik beberapa orang ahli parlimen untuk menjadi "bebas", maka ia boleh menghakis kelebihan BN dalam kem ini.

Terdapat enam orang ahli parlimen bebas setakat ini, dan antaranya, hanya Ibrahim Ali dari Pasir Mas yang menyatakan pendiriannya untuk Pro-UMNO. Tiga orang lain yang keluar dari PKR, Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dipercayai juga memihak kepada BN; sementara dua orang lagi dari SAPP, iaitu Chua Soon Bui (Tawau) dan Eric Majimbun (Sepanggar) yang keluar dari BN pada tahun 2008, dipercayai memihak kepada PR.

Selepas Mohsin Fadzli Samsuri keluar dari parti, PKR hanya tinggal 28 orang ahli parlimen, setanding dengan DAP dari segi bilangannya. Namun, harus dingatkan bahawa daripada 28 orang ini, salah seorangnya, iaitu Jeyakumar Devaraj (Sungai Siput) adalah pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) yang bertanding dengan menyarung jersi PKR pada PRU ke-12.

Bilangan ahli parlimen PR semakin berkurang, dengan hanya 79 orang sekarang. Dengan kata lain, keluarnya lima orang lagi dari PR akan menjatuhkan PR ke paras satu pertiga di dewan rakyat, iaitu 74 orang.

*Chan Wei See adalah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: