Rabu, 10 Mac 2010

SPRM berhak jalankan soal siasat siang malam

BERNAMA

TERKINI

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menjalankan soal siasat pada siang malam kerana ini termaktub di bawah aktanya untuk menyiasat kesalahan dengan secepat mungkin.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Maarop berkata mengikut undang-undang, seorang penyiasat dikehendaki mencari punca jenayah sebaik sahaja beliau menerima maklumat mengenai kesalahan itu.

Beliau berkata memeriksa seseorang dan mencatatkan kenyataan daripada saksi-saksi mungkin boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana siasatan kesalahan serius mengikut Akta SPRM adalah amat penting.

Katanya sekatan terhadap soal siasat saksi-saksi pada waktu bekerja bertentangan dengan tujuan SPRM dalam pencegahan rasuah.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dalam mengehadkan sekatan tempoh soal siasat pada waktu pejabat adalah tidak munasabah dan tidak meningkatkan tujuan SPRM” kata Hakim itu dalam penghakiman setebal 42 muka, yang diperoleh media di sini hari ini.

Pada 17 Dis tahun lepas, panel Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hasan Lah, Ahmad dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membenarkan rayuan panel SPRM untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengehadkan tempoh soal siasat SPRM pada waktu bekerja antara pukul 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, 40, menyaman SPRM untuk mencabar prosedur suruhanjaya itu sama ada SPRM dibenarkan menyoal saksi-saksi siang malam.

Dalam permohonan beliau, Tan mendakwa bahawa beliau mengalami kehilangan dan kerugian disebabkan penahanannya dan soal siasat selama 16 jam siang malam oleh SPRM.

Ahmad berkata kecepatan menjalankan siasatan adalah perlu bagi mengelak kelewatan dalam siasatan suruhanjaya itu dan menangkis mana-mana keraguan mengenai kredibiliti saksi-saksi.

Beliau berkata jika tempoh soal siasat dihadkan pada waktu bekerja dan bayangkan sesuatu kesalahan itu mengikut Akta SPRM dilakukan pada waktu malam dan satu laporan dilaporkan pada malam yang sama, SPRM terpaksa menunggu sehingga waktu bekerja pagi esok untuk memulakan pemeriksaan terhadap laporan aduan dan saksi-saksi lain.

Ahmad berkata “di bawah undang-undang, penyiasat dikehendaki mencari punca jenayah secepat mungkin apabila beliau menerima maklumat mengenai jenayah, beliau hendaklah terus ke tempat kejadian, tentukan fakta-fakta dan perihal kes serta menangkap pesalah yang disyaki.

“Beliau akan mendapatkan keterangan dan memberikan butir-butiran kepada suruhanjaya itu mengenai kesalahan tersebut, periksa pelbagai orang termasuk tertuduh, kurangkan kenyataan mereka ke dalam catatan, cari tempat dan mengambil barang-barang yang dianggap perlu untuk siasatan dan akan dikemukakan pada perbicaraan,” kata beliau.

Ahmad berkata mahkamah tidak boleh menerima interpretasi Mahkamah Tinggi “hari ke hari” dalam Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 yang bermaksud siang malam 24 jam yang tidak berakhir dan hari itu mestilah berkaitan waktu kerja biasa.

Sebaliknya, katanya menurut Shorter Oxford English Dictionary, “dari hari ke hari” bermaksud berterusan atau tanpa gangguan dari sepanjang tempoh 24 jam ke tempoh yang sama lagi. —

Tiada ulasan: