Jumaat, 5 Mac 2010

Soi Lek sertai Tiong Lai letak jawatan; Pemilihan baru dalam 30 hari

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kedudukan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, kini tercabar berikutan peletakan jawatan 21 daripada 31 anggota Jawatankuasa Pusat (CC), termasuk timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sekali gus memaksa parti itu mengadakan pemilihan baru dalam tempoh 30 hari.

Dr Chua mengumumkan peletakan jawatannya semalam, yang turut disertai Naib Presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha serta enam anggota CC, Datuk Gan Tian Loo, Datuk Dr Por Choo Chor, Datuk Tan Chai Ho, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Tee Siew Keong dan Loh Seng Kok.

Dalam sidang medianya di Ibu Pejabat MCA pada jam 2 petang, Dr Chua berkata, surat peletakan jawatannya berkuat kuasa semalam dan surat Kong bertarikh Rabu lalu, manakala surat enam lagi anggota CC bertarikh antara Januari lalu hingga semalam.

Pada sidang media berasingan sejam selepas itu pula, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengumumkan beliau bersama 12 anggota CC yang menyokongnya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka bertarikh 3 Mac 2010 kepada Ketua Pengarah Pentadbiran MCA, Lim Chin Hai.

Surat peletakan jawatan itu adalah yang kedua dikemukakan Liow dan kumpulannya. Pada 15 Disember lalu, mereka turut menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi tanpa tarikh kepada Setiausaha Agung parti, Senator Datuk Wong Foon Meng.

Kumpulan Liow disertai Tan Kok Hong, Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Dr Chua berkata, jika diambil kira peletakan jawatannya dan tujuh anggota CC semalam serta 13 daripada kumpulan Liow yang lebih awal meletak jawatan, maka CC perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh tiga hari bagi menetapkan tarikh pemilihan kepimpinan baru.

Fasal 41 Perlembagaan MCA menetapkan pemilihan CC baru mesti diadakan dalam tempoh 30 hari sekiranya dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, meletak jawatan sebelum tempoh mereka tamat.

Dr Chua berkata, beliau belum memaklumkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta Ong.

"Saya hanya mengotakan janji yang dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) tahun lalu untuk memulihkan imej parti dan berpendapat keputusan yang saya ambil ini boleh menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi MCA.

"Semua anggota CC harus sedar dan insaf bahawa kepentingan parti harus diutamakan, tiada pemimpin MCA yang boleh meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Krisis kepimpinan MCA meletus apabila Dr Chua dipecat daripada jawatannya tetapi CC kemudian mengubah keputusan untuk hanya menggantung kedudukannya.

Kemelut parti itu bagaimanapun semakin meruncing selepas EGM 10 Oktober tahun lalu yang menyaksikan kemunculan kumpulan ketiga diketuai Liow apabila Ong dan Dr Chua menyokong pelan damai.

Liow serta 12 penyokongnya dalam CC membantah pelan damai itu dan berkempen keras supaya pemilihan baru diadakan. Mereka turut mengemukakan surat peletakan jawatan tetapi tidak mencukupi kuota dua pertiga bagi memaksa pemilihan baru diadakan.

Keadaan bertambah buruk apabila Ong memecat Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong daripada Majlis Presiden MCA.

Dr Chua berkata, kini terpulang kepada Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng, untuk menentukan tindakan seterusnya kerana Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ditetapkan pada Sabtu dan Ahad ini.

"AGM tidak perlu dibatalkan meskipun dua pertiga anggota CC meletak jawatan, tetapi biar apa pun keputusan yang dibuat, saya berharap perwakilan tidak perlu berulang ke ibu negara sekali lagi untuk membuang undi," katanya.

Dr Chua juga memaklumkan beliau tidak akan menghadiri mesyuarat CC hari ini kerana sudah meletak jawatan.

Sementara itu, Liow berkata, kumpulannya yang dinamakan Pasukan Bertindak Mengembalikan Integriti MCA (MIRT) lega kerana lapan lagi anggota CC meletak jawatan, sekali gus membolehkan pemilihan baru diadakan.

"Selaras Fasal 41, pemilihan baru dapat mewujudkan pucuk pimpinan lebih dinamik dan penuh integriti bagi menerajui MCA serta memenuhi segala aspirasi ahli parti," katanya.

Tiada ulasan: