Isnin, 15 Mac 2010

Skim bantuan RM2,000 setahun untuk pesakit kencing manis dan buah pinggang

SELANGOR KINI


DAMANSARA, - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bantuan rawatan untuk pengidap katarak, rawatan dialisis dan pembedahan kecil dalam usaha meringankan beban warga Selangor.

Tambah prihatin dengan kos kesihatan yang meningkat, Exco Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar mengumumkan skim bantuan RM2,000 ringgit setahun bagi pesakit kencing manis dan buah pinggang.

“Pesakit yang mendaftar akan melalui proses pemeriksaan latar-belakang kes, dan sekiranya layak akan menerima bantuan RM2,000 setahun. Menyedari jumlah ini kecil, kerana kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan yang banyak sepertimana kerajaan Pusat, namun kami berharap ia sedikit-sebanyak dapat membantu,” kata Dr Xavier.

“Sumbangan ini adalah susulan kepada program keprihatinan kerajaan negeri. Sebelum ini, kita telah memperuntukkan RM2 juta untuk penghidap katarak,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di One Utama di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan hanya untuk golongan miskin bandar kerana kos rawatan dialisis amatlah tinggi iaitu sehingga RM600 seminggu.

Dr Xavier juga mengalu-alukan semua rakyat Selangor yang mempunyai masalah kencing manis dan komplikasi buah pinggang untuk memohon bantuan ini samada terus kepada beliau atau menerusi mana-mana ADUN bahagian masing-masing.

“Mereka boleh ke mana-mana pejabat ADUN atau Ahli Parlimen atau boleh ke pejabat saya di tingkat 5, Bangunan SUK dan mengisi borang,” katanya.

Tiada ulasan: