Ahad, 14 Mac 2010

Sindiket tawar gaji RM3,000 jadi penjenayah

Oleh Nurhayati Abllah


IPOH: Kumpulan penjenayah di negara ini kini dikesan merekrut golongan remaja terutama pelajar untuk melakukan jenayah, termasuk membunuh dan mencederakan mangsa dengan memberi upah secara bulanan.

Difahamkan, kumpulan terbabit yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan samseng menyasarkan golongan remaja dan pelajar bermasalah yang tidak berminat untuk belajar atau sedang mencari pekerjaan melalui cara mudah. Trend terbaru itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah melalui maklumat daripada segelintir remaja yang mengadu mereka ketakutan kerana diburu pihak berkuasa dan ketua kumpulan samseng akibat terbabit jenayah serius.

Beliau yang Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) terkejut apabila didatangi seorang remaja yang mengaku terbabit menerima upah untuk melakukan jenayah seperti itu.

“Baru-baru ini, remaja berusia 19 tahun dari Taiping itu datang mengadu kepada saya mengenai pembabitannya dalam jenayah. Dia mendakwa menerima gaji bulanan daripada kumpulan samseng untuk melakukan pelbagai jenayah termasuk membunuh, merompak dan mencederakan mangsa.

“Remaja itu yang ketakutan kerana menjadi buruan, menerima gaji RM3,000 sebulan dan melakukan keganasan terhadap mangsa yang dikesan hanya dengan menggunakan gambar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Kepada Pelajar, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengakui budaya ala kongsi gelap juga dilihat mula memasuki peringkat sekolah rendah apabila ada di kalangan murid berani membentuk geng sendiri bertujuan menguasai kawasan itu.

“Saya pernah menerima aduan mengenai kes di Selangor membabitkan murid Tahun Enam bertindak sebagai ketua samseng di sekolah, memeras ugut dan meminta wang 50 sen daripada murid lain setiap bulan sebagai wang perlindungan,” katanya.

Katanya, gejala negatif itu dilihat semakin membimbangkan berikutan keadaan persekitaran semakin mencabar selain pengaruh rakan sebaya sehingga menyebabkan golongan remaja semakin liar.

“Terjebak dalam gejala dadah, keluarga bermasalah dan inginkan pekerjaan serta pendapatan lumayan menyebabkan mereka tanpa berfikir panjang sanggup melakukan jenayah sedemikian,” katanya.

usteru, semua pihak terutama ibu bapa perlu memainkan peranan sebaik mungkin dalam mengawasi anak masing-masing.

“Pada masa sama, polis juga diminta mempertingkatkan kawalan serta risikan terutama mengenal pasti kumpulan remaja bermasalah bagi mengelak mereka terjebak dengan kumpulan samseng dan dijadikan ‘kambing hitam’,” katanya.

Tiada ulasan: