Jumaat, 12 Mac 2010

Siasat Pelajar Terpaksa Ikat Perut - Saifuddin

BERNAMA

SEPANG: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya menyiasat keadaan di mana terdapat pelajar yang terpaksa mengikat perut berikutan kekurangan wang untuk berbelanja.

Beliau berkata beliau mahu laporan tentang sejauh mana kebenaran maklumat yang beliau terima itu, punca dan tindakan susulan yang boleh diambil bagi mengatasinya.

"Saya mendapat laporan bahawa terdapat segelintir mahasiswa yang terpaksa ikat perut, mencatu makanan malah ada yang terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kehidupan mereka di kampus, sehingga menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar berkenaan.

"Walaupun jumlahnya tidak besar tetapi ia perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan wujudnya fenomena kemiskinan kampus di IPTA," katanya kepada pemberita selepas melancarkan bengkel latihan pelatih institut pengajian tinggi di sini hari ini.

Saifuddin berkata kementeriannya memandang serius masalah tersebut kerana setiap mahasiswa berada di bawah tanggungjawab kementerian itu sehingga mereka menamatkan pengajian.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengubah dasar pengajian tinggi yang merupakan penyebab kepada masalah berkenaan.

"Saya sedar isu kemiskinan kampus ini bukan isu baru, tetapi ia jarang mendapat perhatian yang sewajarnya. Dalam suasana kita mengumumkan tentang usaha memperkasakan IPTA dan modal insannya, kita tidak mahu berdepan dengan masalah seperti ini," katanya.

Tiada ulasan: