Isnin, 15 Mac 2010

Sepakat hadir sidang

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bebas bersedia menghadapi sidang Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-12 hari ini walaupun pelbagai tekanan yang diberikan terhadap mereka.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pertambahan ahli Bebas memberi kebebasan kepada rakyat supaya tidak terkongkong terhadap parti politik tertentu saja.

“Isu rakyat dan negara dapat diketengahkan tanpa melibatkan agenda parti politik setelah saya menjadi wakil Bebas.

“Sama ada mereka nak baling kerusi atau mengancam, saya tidak gentar malah tetap mempertahankan jawatan dan menunaikan janji kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, perbincangan bersama ahli Bebas lain akan diadakan bagi membentuk satu kumpulan untuk berkongsi pemikiran dan perjuangan.

“Saya masih belum berbincang berkenaan ini bersama Datuk Ibrahim Ali dan berasakan beliau layak menjadi ketua ahli Bebas.

“Saya berpendapat dengan pertambahan ahli Bebas, rakyat akan melihat senario politik berubah kerana demokrasi terdapat dalam pelbagai cara yang boleh dicontohi seperti England, India ataupun Australia,” katanya.:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri menegaskan tiada persengketaan antara beliau dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) lain.

“Saya bersedia berhadapan dengan mereka walaupun pelbagai tuduhan dan tekanan yang dilemparkan setelah menjadi ahli Bebas.:

“Saya juga ingin menegaskan tidak akan menyertai parti politik dan meneruskan khidmat berpandukan agama Islam dan Perlembagaan Negara,” katanya.

Menurutnya, pengundi di Bagan Serai masih tidak jelas permasalahan sebenar dan akan melakukan proses penerangan secara berperingkat kepada rakyat.

“Walaupun kami bebas, tetap mempunyai hak bersuara tanpa melibatkan kepentingan politik,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah menempatkan Zahrain, Mohsin, Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) bersama-sama tiga lagi Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas); Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) di Blok F.

Terdapat tujuh Ahli Parlimen Bebas dengan penambahan empat yang baru tahun ini.

Tiada ulasan: