Sabtu, 6 Mac 2010

Semua kampung akan miliki akses Internet

UTUSAN ONLINE


JELEBU 5 Mac - Semua kampung dan pekan kecil di seluruh negara, termasuk di pedalaman akan mempunyai akses Internet berkelajuan tinggi menggunakan teknologi WiMax tidak lama lagi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kemudahan itu akan menjadi gandingan kepada penyediaan kemudahan Internet percuma yang akan dibekalkan kepada pejabat-pejabat Jabatan Penerangan di seluruh daerah yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dua hari lalu.

"Kita akan meneruskan pemasangan projek tersebut dan ini sekali gus akan merangkaikan kampung-kampung di pedalaman dengan kemudahan WiMax dan Wi-Fi.

"Bagi memanfaatkan lagi kemudahan itu, pihak SKMM akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membekalkan komputer berharga serendah RM1,000 untuk kegunaan pelajar di kawasan kampung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Kampung Lakai di sini hari ini.

Menurut Rais, melalui projek itu, masyarakat kampung bakal menikmati capaian Internet jalur lebar dengan kelajuan di antara 1 Megabit sesaat (Mbps) hingga 2 Mbps.

Namun jelasnya, perkhidmatan yang disediakan itu tidak diberi secara percuma, sebaliknya penduduk kampung akan dikenakan kadar harga rendah yang akan diumumkan pada 24 Mac ini.

"Melalui perkhidmatan ini, rumah-rumah di kampung dijangka menikmati kemudahan Internet jalur lebar memandangkan teknologi WiMax mempunyai liputan seluas lapan hingga 12 kilometer," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan daerah yang bakal menerima kemudahan tersebut terlebih dahulu tetapi ia mungkin berjalan serentak dengan setiap negeri memilih satu gugusan kampung.

Menurutnya, ia bertujuan mengkaji keberkesanan projek dari aspek kelajuan, mutu, perkhidmatan dan kos capaian Internet yang bakal dinikmati.

Tiada ulasan: