Rabu, 3 Mac 2010

Seludup organ sama kesalahan pemerdagangan orang: KDN

BERITA HARIAN ONLINE


PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meletakkan kesalahan penyeludupan organ manusia mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 walaupun jenayah terbabit sukar dikesan kerana memerlukan siasatan menyeluruh.

Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata pemindahan dan penjualan organ manusia secara tidak sah sememangnya berlaku di negara ini sama ada secara paksaan atau tipu daya.

"Kita sukar mengesan perbuatan penyeludupan organ jika manusia yang dibawa masuk sebagai pelancong dengan dokumen perjalanan sah, secara tiba-tiba dipaksa menjalani pembedahan permindahan organ oleh kumpulan sindiket.

"Bagaimanapun, KDN tidak memandang ringan kes terbabit dan tetap mengawasinya dengan meletakkan kesalahan itu mengikut akta baru kerana hukumannya lebih berat," katanya selepas Pelancaran Kempen Anti Pemerdagangan Orang peringkat Kebangsaan di Taman Kastam 3, di sini, hari ini.

Majlis anjuran bersama kerajaan Perlis, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Hadir sama Timbalan Yang Dipetua NCWO, Faridah Khalid.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun sehingga 7 Februari lalu, pihak berkuasa menyelamatkan 231 orang daripada menjadi mangsa rangkaian sindiket pemerdagangan orang.

"Daripada jumlah terbabit, seramai 154 daripada mereka adalah wanita yang sebahagian besarnya untuk dijadikan pelacur, selain 17 kanak-kanak dan 60 lelaki diselamatkan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Sementara itu, Md Isa pula menafikan sempadan darat Perlis-Thailand, terutama di Padang Besar menjadi laluan utama penyeludupan manusia ke negara ini.

Tiada ulasan: