Selasa, 2 Mac 2010

Selangor lancar kempen PerlembagaanKu

Harakahdaily


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersama Majlis Peguam Malaysia melancarkan Kempen PerlembagaanKu peringkat negeri, semalam bertujuan mewujudkan kesedaran kepada rakyat Selangor mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Shah Aziz Shah di sini, yang turut dihadiri Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan dan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon.

Kerajaan negeri melalui Majlis Peguam Malaysia mensasarkan untuk mengedar kira-kira 100,000 buku kecil bertajuk 'Buku Panduan Rakyat: 3 Hubungan Persekutuan-Kerajaan Negeri' kepada orang awam.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil bahagian dalam kempen PerlembagaanKu kerana berpendapat rakyat perlu diberi pendidikan dan pendedahan mengenai hak mereka yang dilindungi dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kempen yang telah memasuki fasa ketiga itu amat penting kepada kerajaan negeri kerana ketika ini Selangor berdepan dengan perbezaan pendapat dengan kerajaan Persekutuan berhubung peruntukan kewangan untuk pembangunan di negeri-negeri.

"Adalah amat penting untuk orang awam mengetahui hak kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun mengamalkan sistem federalisme, kerajaan negeri sepatutnya diberikan hak dan rakyat harus sedar perkara ini bagi menjaga dan melindungi kepentingan mereka," katanya.

Kempen peringkat negeri semalam telah memasuki fasa ketiga sejak Majlis Peguam Malaysia mengadakan kempen itu bermula tahun lalu.

Sebelum ini, dua buku kecil telah diedarkan kepada orang ramai iaitu Buku Panduan Rakyat: 1 Apa itu Perlembagaan Persekutuan dan Buku Panduan Rakyat: 2 Perlembagaan Persekutuan dan Pemisahan Kuasa.

Sempena pelancaran kempen itu, kerajaan negeri dan Majlis Peguam Malaysia menganjurkan forum bertajuk Kuasa Negeri: Realiti atau Mitos di tempat sama yang disertai ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari, Mavis Puthucheary serta peguam hak asasi Fahda Nur, Derek Fernandez dan Hanipa Maidin.

Tiada ulasan: