Ahad, 14 Mac 2010

Selamatkah Sabah Untuk Pelaburan?


KESUNGGUHAN Kerajaan Barisan Nasional membangunkan Sabah sebagai salah satu kompartmen penting dalam Malaysia memang tidak dinafikan kerana sejak merdeka pada 16 September 1963, Sabah dibanjiri pelbagai jenis peruntukan sekalipun tidak setimpal dengan hasil yang disedut keluar.

Sebagai sebuah negeri yang telah mempunyai 13 Ketua Menteri, Sabah sepatutnya maju mengatasi negeri lain di Malaysia kerana mempunyai tarikan pelancongan yang lebih hebat daripada Melaka; mempunyai khazanah hutan yang lebih berkualiti daripada Pahang; mempunyai sumber laut yang lebih banyak daripada semua negeri di Malaysia; mempunyai Koridor Sabah yang menjalar daripada Kudat hingga ke Tawau; mempunyai POIC yang pertama di Dunia dan mempunyai pelbagai unjuran ekonomi dan sumber dana.

Namun masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang meranjau Sabah sejak merdeka dan semakin subur sejak UMNO merekrut mereka sebagai ahli dan pengundi segera, telah menenggelamkan semua kehebatan Sabah di saentaro Nusantara dan dunia ketiga.

Segala punca jenayah lahir daripada koloni setinggan Pati, dilakukan Pati, dirancang Pati dan dilaksanakan Pati untuk ‘merampas ekonomi’ Sabah daripada Anak Negeri Sabah yang tulen sehingga Sabah dianggap tidak selamat untuk pelabur!

Walaupun, ‘drama’ jenayah penculikan Sipadan, Ligitan dan Borneo Paradise pada tahun 2000 tidak menghalang pelancong datang ke Sabah, namun penculikan dua rakyat Malaysia daripada Terumbu Karang Sebangkat, Semporna memberi kesan yang begitu ketara.

Aktiviti penternakan akuakultur dan penanaman rumpai laut lumpuh tiba-tiba kerana pelabur bimbang keselamatan pekerja dan pelaburan mereka setelah Tsen Vui Chung, 41 dan Lai Wing Chau, 33, diculik dan dilarikan ke lokasi yang tidak dikenalpasti.

Pujian mungkin boleh diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim kerana berjaya menangkap talibarut penculik dalam tempoh 24jam selepas kes penculikan; namun para pekerja di Pelantar Rumpai Laut tetap tidak bersetuju dengan kegagalan dan kelewatan polis menyelamatkan mereka ketika dikepung para penculik bersenjata selama lebih satu jam.

Sekalipun PDRM mengesahkan dan masih percaya kedua mangsa culik ini masih berada di Malaysia dan mengklasifikasinya sebagai kes terpencil, namun risikan yang dilakukan pelbagai pihak menafikan dakwaan PDRM; terutama amaran awal Amerika Syarikat berhubung serangan keganasan dan penculikan akan berlaku di Malaysia yang dikaitkan dengan Kumpulan Militan asing termasuk Al-Qaeda.

Selepas kejadian itu, lebih 30 pelabur menarik diri walaupun telah menandatangani surat niat dan perjanjian persefahaman untuk mengadakan kerjasama penanaman rumpai laut dan akuakultur di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS); sama ada dengan Kerajaan atau dengan Waris TMTS kerana curiga dengan keselamatan di Semporna disebabkan kehadiran lebih 1,000 Pati di TMTS yang bebas keluar masuk sekalipun terletak di tengah-tengah kawalan keselamatan.

Walaupun Kerajaan Malaysia memberi jaminan keselamatan di perairan Negara terkawal dan Sabah selamat daripada sebarang kegiatan perlanunan dan penculikan; melalui penempatan begitu banyak pos kawalan daripada pelbagai agensi keselamatan, namun senarionya tidak banyak berubah dan disifatkan sebagai pertunjukan kehebatan alat ketenteraan dan persenjataan.

Oleh kerana taksub dengan kawalan keselamatan dan persenjataan canggih, natijahnya dua mangsa diculik dan para pekerja ‘hampir mati’ ketakutan kerana panggilan mereka ke Bot Polis Marin yang berdekatan tidak berjawab dan polis mengambil masa lebih satu jam untuk sampai ke lokasi penculikan yang hanya boleh dicapai dalam masa 20 minit; dengan alasan ‘budak tadika’, perairan tohor!

Rakyat Semporna tertanya-tanya di mana bot canggih Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Di Raja Malaysia dan Pasukan Gerak Marin (PGM) yang diwar-warkan boleh ‘terbang’ di atas permukaan air?

Adalah tidak mungkin bot-bot canggih berkenaan tidak boleh menandingi kehebatan pambot yang telah diharamkan penggunaannya, namun APMM dan PGM menutup sebelah mata terhadap berleluasanya pambot di Semporna.

Sebagai rakyat Malaysia yang merdeka dan pembayar cukai yang membayar gaji pasukan keselamatan, rakyat Sabah tidak pernah menggantung sepenuh harapan kepada pasukan keselamatan yang selama kini belum mampu menjaga keselamatan diri mereka sendiri; menyebabkan mereka sentiasa berwaspada.

Namun kejadian Sebangkat meninggalkan kesan mendalam apatah lagi nasib 3,000 waris TMTS yang dikelilingi lebih 1,000 Pati yang mendapat ‘suaka’ daripada ahli politik tempatan kerana buktinya mereka bebas keluar masuk ke Semporna sekalipun pelbagai operasi membasmi Pati dijalankan pihak berkuasa.

Daripada Ops Pasir, Ops Tayang sehinggalah Operasi yang tidak berpasir seperti Ops Nyah II Bersepadu, jumlah Pati di TMTS semakin bertambah ramai dan menjadi ancaman kepada anak jati Sabah yang bergantung hidup kepada terumbu karang di TMTS.

Dalam pada itu, Risikan yang dilakukan Sabahkini.net mendapati dua mangsa culik berkenaan dipercayai berada di Filipina di bawah kustodi Komander Albader Parad yang merupakan kumpulan serpihan Abu Sayyaf.

Walaupun Albader Parad dan Abu Sabaya dilaporkan meninggal dunia ketika kes penculikan Sipadan dan Ligitan memuncak, namun Kerajaan Filipina gagal menemui mayat ‘sebenar’ dan DNA mereka.

Menurut Koresponden Sabahkini.net, ketika dua mangsa culik tiba di Filipina, helikopter Tentera Udara dan Polis Negara Filipina berlegar-legar di Talipao dan pergunungan Patikul yang sebelum ini menjadi sarang penculikan Kumpulan Abu Sayap.

Namun sejak seminggu lalu, tidak ada lagi helikopter berlegar di kawasan Patikul dan Talipao dan pemantau penculikan yang berada di Jolo yakin kedua mangsa culik berkenaan tidak lagi berada di Jolo sebaliknya telah diseludup keluar daripada Jolo dan berada di Tawi-Tawi, antara Indanan dan Siasi.

Siasatan Koresponden Sabahkini.net di Jolo dan Tawi-Tawi mengesahkan bahawa Komander Dr Abuh di Indanan dan Komander Raddulow di Patikul tidak terlibat langsung atau menyimpan mangsa sekalipun mereka diserang pihak berkuasa Filipina baru-baru ini.

Menurut beberapa maklumat tidak rasmi yang diterima daripada pemantau yang cuba menjejaki mangsa culik berkenaan di Filipina sejak 10 Februari lalu, mereka percaya mangsa berada dalam keadaan sihat dan dijaga dengan sempurna oleh ‘ahli politik’ yang akan bertanding dalam pilihanraya umum Filipina; bukan lagi bersama Albader Parad.

Walaupun dimaklumkan bahawa Lai Wing Chau mengalami kecederaan akibat hentakan keras buntut senapang di kepala dan pinggangnya ketika cuba melawan penculik sewaktu ditawan di Sebangkat, namun dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Krew Sabahkini.net di Patikul tersentak apabila menerima kiriman beberapa keping gambar setelah membayar sejumlah wang kerana mempercayai ianya adalah mangsa yang diculik dan dibunuh kejam.

Namun setelah risikan daripada pelbagai sudut dibuat, gambar yang diterima bukanlah mangsa yang dimaksudkan sebaliknya rakyat Filipina dan rakyat asing yang dibunuh secara kejam setelah wang tebusan tidak dipenuhi dan alasan lain yang hanya diketahui oleh para penculik.

Sehingga ke hari ini setelah lebih 36 hari Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau diculik, namun tiada siapa yang tahu kedudukan sebenar mereka dan dalam masa yang sama PDRM masih yakin mangsa dan penculik masih berada di Malaysia kerana berjaya menahan seorang pengawal keselamatan, Adam Hussien yang dipercayai bersubahat dan mempunyai hubungan terus dengan para penculik berkenaan.

Ketika dihubungi Sabahkini.net, keluarga mangsa mengesahkan mereka belum menerima sebarang permintaan wang tebusan atau ganjaran, namun beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyalurkan maklumat palsu, namun tidak dilayan; apatah lagi setelah menyedari penculikan adalah profession tertua di Filipina.

Walaupun kedua mangsa culik dilaporkan selamat, namun kakak Tsen Vui Chung, Winnie Tsen dan iparnya Datuk Seri Chong Man Tung, menaruh harapan yang tinggi terhadap Kerajaan Malaysia agar membantu menjejak keluarga mereka yang sehingga kini tidak diketahui di mana berada.

Winnie dan Chong sebelum ini melalui Sabahkini.net telah memohon ehsan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia campurtangan untuk menyelamatkan keluarga mereka yang diculik dan kembali ke pangkuan mereka dengan selamat.

Kata Chong, dua orang mangsa culik, Tsen Vui Chung, 41, ialah adik ipar beliau, manakala Lai Wing Chau, 33, ialah sepupu beliau yang diculik tanpa sebarang khabar berita sejak kehilangan mereka pada 8 Februari yang lalu.

Dalam hal ini, kata Chong PDRM hendaklah memberikan penjelasan yang meyakinkan semua pihak dan tidak hanya berlandaskan teori kemungkinan kebarangkalian mangsa masih berada di Sabah sedangkan PDRM tidak dapat membuktikan secara praktikal di mana mangsa berada.

“Kita harap Kerajaan Malaysia akan menyelamatkan mangsa dan mengembalikan keyakinan pelabur asing dan akan memastikan Semporna selamat daripada sebarang kegiatan yang memudaratkan,” ujar Chong yang bertekad akan meneruskan perusahaan penanaman rumpai laut di TMTS, namun tidak berani mengambil risiko melawat pelantar di Sebangkat dalam masa terdekat.


Tiada ulasan: