Selasa, 9 Mac 2010

Saya yakin PAS tidak akan terima Zulkifli - Tuan Ibrahim

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS memang mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian parti namun tidak bermaksud akan menerima Zulkifli Nordin jika beliau membuat permohonan untuk menjadi ahli, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya Tuan Ibrahim (gambar) berkata, jika PAS menerima bulat-bulat bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, samalah seperti melukakan hati kedua-dua rakan dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.

"Sebenarnya mungkin silap faham dalam laporan tersebut. PAS mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian. Prinsip kita, sesiapa yang nak jadi ahli, kita memang mengalukan keahlian yang ramai dalam parti tapi bukan bermaksud kita menerima Zulkifli (Noordin).

"Menerima Zulkifli Noordin dalam PAS bermaksud kita menyakiti hati rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Dia dipecat atas masalah disiplin, jadi jika kita menerima (beliau) bermaksud kita menerima seseorang yang boleh merosakkan imej parti dan hubungan kita dalam Pakatan.

"PAS sebagai parti komponen dalam Pakatan akan memelihara setiakawan dan perasan rakan dalam Pakatan," katanya ketika menghubungi Harakahdaily pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai membuat pembetulan ke atas laporan portal berita Mstar online semalam yang bertajuk 'PAS sedia terima Zulkifli'.

Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata, PAS sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam parti itu dan sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk Zulkifli.

Beliau menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan, beliau membuat kenyataan itu dalam konteks prosedur umum parti iaitu jika sesiapa membuat permohonan untuk menjadi ahli, ianya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Dalam konteks kenyataan umum berkaitan keahlian, prosedur parti (adalah) sesiapa yang mohon (untuk) menjadi ahli kita akan bawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dinilai dan dipertimbangkan.

"Itu prinsip umum dalam parti. Bukan saya buat kenyataan PAS akan terima Zulkifli," jelasnya.

Tegas beliau juga, PAS lebih rela kehilangan satu kerusi Pakatan rakyat di parlimen daripada menerima individu yang sering menimbulkan masalah dalam Pakatan rakyat.

"Walaupun mungkin pemecatan Zulkifli ini menyebabkan kita hilang satu kerusi parlimen, tapi kita lebih rela hilang kerusi parlimen daripada merosakkan hubungan dalam Pakatan yang akan menjejaskan sokongan rakyat," tegasnya.

Beliau turut menyeru agar semua ahli Pakatan Rakyat bertanggungjawab dalam menjaga nama baik parti dan tidak menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan pandangan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Dalam Pakatan Rakyat sudah dibentuk satu jawatankuasa tatatertib yang dipengerusikan R. Sivarasa dan saya salah seorang ahli. Saya menyeru semua ahli Pakatan supaya isu-isu yang melibatkan imej dan nama baik Pakatan dan pandangan baik masyarakat terhadap kita sekarang dapat ditingkatkan supaya kita mampu membina keyakinan rakyat terhadap kita dalam pilihanraya ke 13 nanti," katanya.

Ujarnya, jika Zulkifli memohon untuk menjadi ahli PAS, parti itu harus terlebih dahulu melihat kepada latar belakang Zulkifli.

"Kalau Zulkifli hantar borang permohonan, kita akan bawa ke mesyurat tapi saya yakin pada tahap ini, PAS tidak akan menerima beliau.

"Beliau pernah memegang jawatan dalam PAS dan kemudian keluar PAS, masuk PKR. Dan sekarang buat masalah dalam PKR pula. Jadi saya fikir PAS harus melihat latar belakang beliau ini," katanya.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bermesyuarat Sabtu lepas sebulat suara memecat Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Tiada ulasan: