Khamis, 4 Mac 2010

Royalti: Ibrahim tetap bawa ke mahkamah

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kerajaan negeri pimpinan Pas diminta supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah demi kebaikan rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tetap dengan pendiriannya untuk membawa isu tersebut ke mahkamah secepat mungkin sekiranya kerajaan negeri masih berlengah-lengah untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya mengambil sikap 'tunggu dan lihat' selepas sidang Dewan Undangan Negeri meluluskan usul tergempar untuk membawa tuntutan royalti petroleum ke mahkamah.

"Disebabkan isu ini telah di bawa ke sidang DUN dan memberikan mandat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mengambil tindakan lanjut termasuk bawa ke mahkamah maka saya akan tunggu dan lihat.

"Jika kerajaan negeri tidak membawa isu ini ke mahkamah, saya sendiri akan bawa nanti, saya akan tunggu tetapi jangan lama-lama sangat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika menyampaikan ceramah penjelasan royalti petroleum bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 27 Januari lalu, Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada kerajaan negeri supaya membawa isu itu ke mahkamah.

Jika kerajaan yang ditunjangi Pas itu enggan berbuat demikian, beliau sendiri akan memfailkan kes tersebut di mahkamah atas kapasiti rakyat Kelantan yang mahu menuntut hak mereka.

Bagaimanapun, sidang DUN kelmarin secara sebulat suara termasuk anggota pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) meluluskan usul memberikan mandat kepada MMK bagi kerajaan negeri untuk mengambil tindakan termasuk membawa ke mahkamah bagi menuntut royalti minyak.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan yang tepat sekiranya membawa kes tersebut ke mahkamah kerana ia hanya melibatkan masalah pentafsiran undang-undang.

"Kalau benar-benar nak bawa ke mahkamah baguslah, kerana sejak dari awal lagi saya katakan bahawa isu ini hanya melibatkan pentafsiran undang-undang dan mahkamah sahaja yang boleh membuat keputusan.

"Siapa saja termasuk individu yang buat undang-undang ini tidak boleh mentafsir undang-undang yang mereka buat," katanya.

Tiada ulasan: