Rabu, 17 Mac 2010

Rosmah Mansor jatuh, Pro Aspirasi Unisel pun jatuh

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Kejatuhan Rosmah Mansor sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) kini menjalar kepada kejatuhan Pro Aspirasi di kampus universiti swasta tersebut dalam pilihan raya kampus baru-baru ini.

Semalam kampus utama Bestari Jaya, di Ijok telah menyaksikan kumpulan Pro Mahasiswa memenangi hampir semua kerusi kecuali satu sahaja kerusi yang dipertandingkan.

"Kerusi fakulti yang dipertandingkan itu, ialah di Fakulti Perniagaan yang melibatkan calon Pro M dan Bebas," kata jurucakap Pro M Ruhi Hayati Thani, ketika dihubungi .

Tambahnya, ekoran pertandingan di fakulti itu, hanya pilihan raya di peringkat fakulti diadakan pada 24 Mac depan, melibatkan calon Pro M, iaitu Mohd Azim melawan calon Bebas Syazwani Ngatemim.

"Malam ini , siswa akan mengadakan pengenalan calon di mana kedua-dua mereka akan berkempen di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP) Unisel di sini," tambah beliau lagi.

Awal Julai tahun lalu, para siswa Unisel telah mendesak agar Canselor universiti mereka ditukar, sekali gus menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Canselor baharu mereka, selaras dengan ketokohan beliau dalam doktor perubatan selama tempoh 14 tahun sebelum ini.

Sebelum ini, tambah Ruhi Hayati, kumpulan Pro M menjangkakan berlaku pertembungan sengit berikutan borang pencalonan yang banyak diambil di pejabat Hal Ehwal Pelajar di kampus berkenaan.

"Menurut rekod kami, ada 45 borang pencalonan yang telah diisi sehinggakan kami menjangka berlaku pertembungan tiga blok kumpulan pelajar; Pro M, Bebas dan Pro Aspirasi.

"Tapi, yang berlaku adalah sebaliknya, hanya satu fakulti yang bertanding, itu pun daripada calon Bebas," tambah beliau.

Menyentuh pengalaman, lalu Ruhi Hayati berkata, pihaknya kecewa kerana ada usaha menyekat calon-calon Pro M untuk bertanding merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebelum ini.

"Tapi, biasalah, orang tidak banyak bercakap mengenai hal ini, apatah lagi keadaan di IPTS ini, kesedaran dalam kalangan pelajar kurang sikit," tambah beliau.

Menurut Ruhi Hayati, wujud banyak sekatan di kampus itu sehingga suara mereka melalui laman sosial Facebook turut dihalang sebelum ini.

"Macam dah ada OSA (Akta Rahsia Rasmi) di sini," katanya ketika menceritakan kejadian beberapa dokumen, surat-menyurat pentadbiran kampus itu yang turut disekat untuk disiar di Facebook kumpulan Pro M itu.

Tiada ulasan: