Khamis, 11 Mac 2010

"Road show" royalti minyak bermula 18 Mac

FREE MALAYSIA TODAY


Ku Li Oleh Mohammad Faizal Zakaria
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Kelantan, dengan dibantu oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, akan memulakan "road show"
bagi menerangkan kepada rakyat isu royal minyak yang dituntut oleh negeri itu, di Terengganu pada 18 Mac ini.

"Kita akan memberi penerangan ke seluruh negara dan Tengku Razaleigh sendiri akan memberi penerangan di Terengganu nanti," kata exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa kepada Suara Keadilan baru-baru ini.

Menurut beliau, selepas Terengganu, mereka akan pergi ke Johor pada 27 Mac dan kemudian ke Sabah bagi menerangkan kepada rakyat mengenai hak rakyat berhubung isu royalti minyak.

Dalam perkembangan yang lain, Husam berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya, maka rakyat akan diberi hak "mengundi" terhadap cadangan gagasan itu memberi royalti minyak 15% kepada penduduk di negeri pengeluar minyak, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Cara "mengundi" dengan pungutan suara atau referendum itu adalah jaminan yang akan diberikan kepada rakyat ketika beliau bersama pemimpin lain turun padang menjelajah negara untuk menjelaskan isu ini.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor menjelaskan Pakatan Rakyat (PR) akan menawarkan royal minyak sebanyak 15% apabila berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak jika memberi kemenangan kepada PR nanti.

"Kita akan tawarkan 15% royalti minyak sekiranya rakyat Sarawak memberi sekurang-kurangnya satu pertiga dari jumlah kerusi.husan musa

"Kita kini sedang merangka satu insentif untuk menawarkan royalti minyak sebanyak 15% kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu manakala royalti kepada Kerajaan Pusat tidak berubah iaitu pada kadar 5%," terang beliau.

Husam berkata ini adalah antara insentif Pakatan Rakyat berhubung isu royalti minyak yang telah menjadi perbahasan hangat terutama dikalangan rakyat Sabah dan Sarawak setelah sekian lama.

"Terbaru di Kelantan apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional berkeras tidak mahu memberi royalti tetapi hanya dalam bentuk wang ihsan kepada negeri itu," tambahnya.

Menurut beliau, pada mulanya Sabah dan Sarawak sepatutnya menerima 12% royalti tetapi memandangkan Petronas ketika itu baru ditubuhkan maka kompromi dicapai untuk memberi royalti 5% sahaja kepada kedua-dua negeri itu dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan kewangan Petronas.

"Duit Petronas pun banyak digunakan untuk projek yang tidak mendatangkan faedah secara terus kepada rakyat seperti membelanjakan lebih RM1 bilion untuk sukan Formula One sahaja dan lain-lain projek mewah.

"Sekarang kita kena agih semula royalti supaya negeri-negeri miskin ini dapat lebih," ujar beliau.

Tiada ulasan: