Isnin, 1 Mac 2010

Rakyat Malaysia bunuh pakar bedah di Australia akan diusir

BERNAMA

MELBOURNE — Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang disabitkan kesalahan membunuh pakar bedah jantung Dr Victor Chang akan dibebaskan tidak lama lagi selepas Mahkamah Agung New South Wales (NSW) membatalkan perintah menahannya dalam penjara.

Menurut laporan Australian Associated Press (AAP) Phillip Lim Choon Tee, 55, dijadual dibebaskan pada 11 November tahun lepas selepas selesai menjalani hukuman penjara minimum 18 tahun.

Ekoran bantahan awam, kerajaan negeri NSW mengemukakan hujah kepada Pihak Berkuasa Lembaga Parol Negeri supaya Lim ditahan di penjara. Lembaga itu kemudian membatalkan keputusan awalnya itu dan memerintahkan Lim harus ditahan dalam penjara untuk 12 bulan lagi.

Dua minggu lepas, Mahkamah Agung NSW mendengar rayuan daripada peguam Lim yang mendedahkan Lembaga Parol berkenaan melakukan kesilapan prosedur. Pada prosiding itu, Hakim Peter McClellan berkata Lim sedang ditahan secara tidak sah kerana kesilapan Lembaga Parol dan membatalkan keputusan lembaga itu untuk menarik balik jaminan.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan perintahnya supaya pihak berkuasa akan mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan prosedur itu.

Laporan AAP itu berkata peguam Lim, Andrew Haesler, pada Isnin lalu, memberitahu Mahkamah Agung bahawa pihak berkuasa parol telah membayangkan bahawa mereka tidak akan meneruskan perkara itu.

Sebelum ini, Lembaga Parol membantah pembebasan Lim kerana dia tidak dapat mematuhi syarat parol sekiranya dia kembali ke Malaysia.

Haesler berhujah anak guamnya itu harus diletakkan di bawah tahanan imigresen dan permohonan itu dipersetujui oleh Hakim McClellan, yang membatalkan penangguhan itu.

Lim kini akan dibebaskan dan diletakkan di bawah tahanan Jabatan Imigresen sementara menunggu penghantarannya pulang ke Malaysia.

Dr Chang ditembak mati di kaki lima di pinggir bandar Mosman yang terletak di utara Sydney pada 4 Julai 1991, selepas cubaan Lim dan Liew Chew Seng untuk memeras ugutnya gagal.

Lim dan Liew dijatuhi hukuman penjara maksimum, masing-masing 24 dan 26 tahun. Liew masih menjalani hukuman.

Tiada ulasan: