Khamis, 4 Mac 2010

Polis bongkar kegiatan hasilkan resit tol palsu

BERNAMA


PULAU PINANG- Polis Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket yang menghasilkan resit palsu bagi bayaran tol nutuk perjalanan lebuh raya utara-selatan, resit palsu bagi bayaran minyak dan Touch N Go, untuk destinasi perjalanan antara Johor dan Pulau Pinang dalam satu serbuan di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang ramai dan risikan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sejak dua minggu lepas.

"Polis merampas dua set komputer, tiga mesin pencetak, tiga gelung kertas cetakan lebuhraya Plus dan Shahpadu, tujuh buku latihan yang mengandungi maklumat kenderaan, 77 keping pelbagai resit, dan wang tunai RM220," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakkan pelanggan sindiket ini terdiri daripada pemandu lori yang menggunakan resit berkenaan untuk membuat tuntutan bayaran dengan majikan.

"Pemandu lori yang terlibat dengan sindiket ini tidak melalui lebuh raya sebaliknya menggunakan jalan lama, dan resit palsu itu pula dijual berhampiran plaza tol," katanya.

Tiada ulasan: