Ahad, 7 Mac 2010

PKR parti yang ’pantas’ (fast-track) - Zuraida Kamaruddin

Oleh Roziyah Mahamad


KUALA LUMPUR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) telah mencipta sejarah dengan arus tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke 12.

"Barisan Nasional (BN) dikejutkan dari tidur apabila mereka hilang majoriti dua-pertiga di Parlimen dan lima buah negeri telah dirampas oleh PR! Terhina dan tercabar; BN bertindak penuh dendam dengan melancarkan serangan bertubi-tubi kepada semua lima kerajaan negeri Pakatan Rakyat – Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah sejak sekian lama arif akan sepak terajang Kerajaan Persekutuan BN," jelas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan medianya kepada Erapakatan. com.

Menurut beliau, media arus perdana turut bersekongkol dengan menyiarkan ’cerita rekaan’ berbaur fitnah dan mengetepikan etika kewartawanan.
"BN telah dan sedang menyalahgunakan jentera kerajaan dengan cubaan membeli ADUN dan Ahli Parlimen (AP) PR.

"Sogokan ditawarkan dan ugutan juga digunakan tanpa segan-silu untuk merampas kembali negeri-negeri di bawah PR dan mengembailikan semula majoriti dua-pertiga Parlimen.

"Mangsa yang enggan akan terpaksa berhadapan dengan ’siasatan’ oleh SPRM - Menteri Besar, Exco dan pimpinan parti Pakatan Rakyat ’disiasat’ bersama ahli politik BN yang rasuah," Kata Zuraida.

Zuraida berkata, SPRM menjadi alat untuk mengaibkan dan menyusahkan ADUN, AP dan pimpinan PR! Kerajaan Negeri Perak di bawah PR telah dirampas melalui episod yang sangat memalukan di mana kerajaan negeri yang sah diputuskan bukan dalam Sidang Dewan tetapi diadili di mahkamah.

"Wanita KEADILAN sangat kesal di atas tindakan samseng BN ini yang telah membantutkan perlaksanaan kerajaan-kerajaan negeri PR dalam program-program agenda perubahan bagi kebaikan rakyat jelata.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor umpamanya, telah melaksanakan lebih banyak program untuk faedah semua rakyat Selangor dalam tempoh tiga-bulan pertama pemerintahannya berbanding kerajaan BN yang lepas.

"Kemiskinan-tegar telah berjaya dihapuskan sama sekali di Pulau Pinang dan peruntukan bagi Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang telah ditambah dua kali ganda di bawah pentadbiran Ketua Menteri Pakatan Rakyat yang baru.

"Banyak yang telah dicapai oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat apabila ADUN dan APnya benar-benar berkhidmat kepada rakyat.

"Mana-mana ADUN atau AP yang gagal menjalankan tanggungjawab ini akan terpaksa meninggalkan PKR dan Pakatan Rakyat. Dengan perkembangan terbaru di mana beberapa Ahli Parlimen telah meninggalkan parti, Wanita PKR menganggap ini sebagai proses biasa yang terpaksa dilalui jika kepimpinan Parti mahu diperkukuhkan," tegas Zuraida.

Zuraida dipetik berkata, semakin kurang anggota yang hanya menumpang berbanding anggota yang kuat bekerja dalam gerabak Parti, maka semakin berkesan segala tindakan PKR dalam setiap perancangan.

Parti tidak boleh menerima mana-mana pimpinan yang bertindak mementingkan diri sendiri, mempunyai prestasi yang rendah dan bersikap ala-kadar kerana rakyat telah meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Parti untuk mengembalikan semula Malaysia ke zaman kegemilangannya sebagai salah sebuah ekonomi yang kuat di rantau Asia.

"Parti Keadilan Rakyat merupakan parti politik yang pantas (fast-track) di mana dalam tempoh kurang dari sepuluh tahun penubuhannya; ia telah berjaya menghasilkan seramai 31 orang Ahli Parlimen.

"Wanita PKR berdiri teguh bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat; Anwar Ibrahim dalam merealisasikan agenda perubahan Parti.

Beliau berkata, wanita PKR penuh yakin dalam tempoh singkat sepuluh tahun akan datang, Parti Keadilan Rakyat akan muncul sebagai Parti yang paling kuat dalam sejarah politik Malaysia

Tiada ulasan: