Selasa, 16 Mac 2010

Perwakilan MCA Bukan Mesin Mengundi - Ong

BERNAMA

PETALING JAYA: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata perwakilan parti pada pemilihan semula 28 Mac ini bukanlah "mesin mengundi", sebaliknya mereka boleh membuat pilihan tersendiri.

Menurutnya dalam sistem demokrasi sesiapa pun boleh membuat gesaan, desakan dan sebagainya, namun akhirnya perwakilan mampu membuat pilihan yang mereka kehendaki.

Ong berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong semalam bahawa pergerakan itu akan memastikan lebih 200 perwakilannya tidak memberi undi kepada Ong yang pada Sabtu lepas mengumumkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan baru itu.

"Kita pun tidak paksa orang undi calon ini atau calon itu. Kalau pemimpin dapat kuasai sekian ramai perwakilan hebatlah, tapi perwakilan bukan mesin mengundi...mereka pun ada pilihan tersendiri," katanya selepas pelancaran kempennya di MCA Bahagian Kelana Jaya, di sini hari ini.

Pelancaran itu diadakan di tempat letak kereta terbuka, sebuah van dengan tema "Ong Tee Keat for President" disediakan yang akan digunakan oleh Menteri Pengangkutan itu untuk menemui perwakilan serta anggota parti dan juga masyarakat di seluruh negara.

Menjawab satu soalan, Ong berkata sejak beberapa hari ini ramai yang bertanyakan siapa beliau restui untuk pemilihan ini dan menurutnya jawapannya adalah rakyat.

"Jadi hari ini juga saya maklumkan kepada anda apa yang berlaku sejak beberapa hari lepas. Apabila orang tanya saya siapa orang besar dan ternama yang memberikan restu kepada anda...jadi saya kata saya hanya boleh fikir mengenai orang...orang ramai," katanya.

Ong berkata beliau tetap komited pada perjuangan untuk mentransformasi parti ke arah perubahan seperti yang selalu disebutnya dan ini beliau tetap akan diteruskan.

"Kalaulah saya kata komited pada transformasi...saya kira ia adalah satu-satunya perlu perjuangan habis-habisan dan itupun saya kira bukanlah mudah sangat dijejaskan oleh satu dua suara sumbang," katanya.

"Jika seseorang itu komited dan adalah tugasnya bagi memastikan beliau mengotai katanya. Saya masih tidak terhalang dengan apa sahaja spekulasi...dengan sebarang ugutan," katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Wanita MCA Senator Heng Seai Kie yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta lebih kurang 50 penyokong Ong.

Pemilihan semula itu diadakan berikutan peletakan jawatan 22 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang dipilih, termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan kesemua empat naib presiden.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan diadakan pada 22 Mac melibatkan 2,380 perwakilan pusat yang layak mengundi.

Tiada ulasan: