Khamis, 4 Mac 2010

Permohonan Anwar batal saman KPN didengar 11 Mei

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 11 Mei depan bagi mendengar permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman fitnah oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berhubung insiden 'mata lebam' pada 1998.:

Tarikh tersebut ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Tengku Amalin ‘A-Ishah Putri Sultan Ismail Petra ketika pengurusan kes itu semalam.

Peguam Anwar, S N Nair memberitahu media, permohonan tersebut kelak akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Prasad Sandosham Abraham.

Bagi kes itu, Musa diwakili peguamnya, Lim Kon Keen.

Terdahulu, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Musa itu bulan lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut telah membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai 2008 dengan dakwaan Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan serta menyembunyikan beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Musa memfailkan saman pada 21 Julai 2008 dan dalam penyataan tuntutannya, beliau mendakwa, dakwaan Anwar sebagai tidak berasas, tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, nama baik dan juga kapasiti profesionalnya.

Musa turut menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi bagi mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan tersebut selain mendakwa, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Anwar pula dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 24 Oktber 2008, mendakwa laporan polis itu dibuat untuk pembelaan dan keadilan.

Tiada ulasan: