Rabu, 17 Mac 2010

Penutupan hentian Puduraya ditangguh


BERNAMA


KUALA LUMPUR- Penutupan sementara hentian bas Puduraya untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang dijadulkan bermula Jumaat ini ditangguhkan, menurut UDA Holdings Berhad.

Katanya, penangguhan penutupan stesen bas ekspres utama itu adalah bersifat sementara sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Dalam kenyataan hari ini, UDA Holdings, berkata keputusan penangguhan itu dibuat selepas mesyuarat antara pihak UDA, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis.

Bagaimanapun, UDA Holdings berkata pihaknya tetap berusaha menyegerakan kerja-kerja penambahbaikan dan penaiktarafan Hentian Puduraya demi memastikan keselesaan pengguna.

Katanya, sebarang maklumat berhubung status penutupan itu akan diberitahu kemudian.

Pada Rabu lalu, UDA Holdings mengumumkan penutupan sementara hentian bas itu selama empat bulan bagi kerja-kerja penambahbaikan.


Tiada ulasan: