Isnin, 15 Mac 2010

Pengajaran Daripada Penangguhan Bil GST

Oleh A Kadir Jasin

BULAN lalu kita bincang dengan panjang lebar mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Servives Tax – GST) bila pakar percukaian kerajaan, Datuk Kamariah Hussain, dilaporkan berkata cukai itu tidak akan membebankan pengguna.

Katanya, GST akan mengurangkan hasil kerajaan sebanyak RM1 bilion. Ertinya beban cukai rakyat jelata berkurangan RM1 bilion.Tetapi tidak lama sebelum itu, Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah berkata GST akan meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM1 bilion. Maksudnya beban pengguna meningkat RM1 bilion.

GST ni cerita lama. Zaman Tun Hussein dulu dah cakap. Zaman Tun Dr Mahathir pun cakap juga. Tapu hanya pada zaman Tun Abdullah Ahmad dan kini era Mohd Najib Abdul Razak, pemerintah beria-ia melaksanakannya.

Kita tidak menafikan keperluan kerajaan terus mencari hasil untuk mentadbir dan membangunkan negara. Tetapi kita juga tidak boleh menyisihkan kepentingan dan kebajikan rakyat jelata.

Sekarang, setelah jelas bahawa cadangan GST itu mendapat tentangan rakyat jelata dan menghadapi ancaman tunjuk perasaan di Bangunan Parlimen, Pentadbiran Mohd Najib membatalkan bacaan kali kedua rang undang-undang cukai baru itu.

Kita harap penangguhan ini bukan taktik politik atau percubaan mengelirukan debat mengenai isu ini, tetapi kerana pemerintah telah sedar bahawa ia telah tergesa-gesa membentangkan rang undang-undang itu.

Kalau ditanya para pakar dan penasihat yang hanya peduli soal hasil kerajaan tetapi kurang peduli atau tidak peduli akan kesuntukan hidup rakyat jelata, memanglah apa jua kaedah yang boleh menambah hasil kerajaan adalah baik.

Jadi, eloklah mulai sekarang pemerintah turut mendengar keluh kesah dan berdialog dengan rakyat jelata, pembayar cukai dan pengundi daripada hanya mengiakan nasihat pakar dalam dan luar negara. Mereka ini hanya peduli mengenai gaji dan yuran yang mereka peroleh.

Kalau tidak, buka sahaja pemerintah akan menjadi lebih tidak popular, tetapi yang lebih memalukan ialah apabila ia terpaksa melakukan “flip-flop” pada saat-saat akhir.

Apatah lagi Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa era Internet telah merobohkan banyak benteng yang memisahkan manusia.

Kini, jika beliau peka, beliau boleh memperoleh maklum balas bukan sahaja daripada media massa arus perdana, tetapi lebih banyak dan meluas daripada saluran maklumat yang berlandaskan Internet.

Hal yang sama haruslah juga diamalkan dalam usaha merangka Model Baru Ekonomi dan apa jua dasar atau rancangan yang menyentuh kepentingan umum.

Lagipun, apalah salahnya pemerintah mendengar keluh-kesah rakyat jelata dan meminta nasihat mereka yang berpengalaman, khasnya veteran dalam pelbagai bidang.

Orang lama ni mereka tidak ada cita-cita lagi selain membantu agar masa depan anak cucu mereka dan anak cucu kita sejahtera, aman dan makmur.

Rasa-rasanya tidak ada seorang pun daripada mereka yang hendak jadi Perdana Menteri atau Presiden Umno semula.

Sebaliknya, orang muda dan para penasihat yang sentiasa memuji dan memuja Perdana Menteri itulah yang perlu diperhatikan.

Bukan apa, kita takut mungkin – saya ulang, MUNGKIN -- ada di antara mereka yang bercita-cita politik dan korporat atau setidak-tidaknya pun untuk menjadi dapur agar terus berasap.

Ibarat kata ungkapan Melayu, sokong membawa rebah! Nasihat, umpama jadam, adalah pahit tetapi kalau dituruti boleh menjadi penawar kepada racun yang paling bisa. Gula memang manis, tetapi mati semut kerana gula.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: