Rabu, 3 Mac 2010

Pemuda Kota Tinggi guna format baru pemilihan

BERITA HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU: Format baru pemilihan Umno tanpa kuota pencalonan untuk semua jawatan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas 2008, buat kali pertama akan diguna pakai dalam pemilihan semula Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi, pada 14 Mac ini.

Ketua Pemuda Umno Johor, Fadzil Miskon, berkata mereka yang mahu bertanding hanya perlu mencalonkan diri masing-masing sepanjang tempoh penamaan calon tanpa perlu membawa penyokong atau pencadang.

“Ibu pejabat parti menetapkan supaya tempoh penamaan calon bagi pemilihan semula Pemuda Umno bahagian Kota Tinggi bermula daripada 28 Februari lalu hingga 7 Mac ini.

“Selain itu, semua urusan menyelaras pemilihan semula ini, akan dibuat oleh urus setia Umno bahagian Kota Tinggi, bukannya daripada Pemuda Umno bahagian lain, seperti amalan sebelum ini, ” katanya kepada Berita Harian semalam.

Setiausaha Umno bahagian Kota Tinggi, Mohd Faizam Mohd Sabalas, berkata sehingga semalam, masih belum ada calon menawarkan diri untuk sebarang jawatan Pemuda Umno bahagian berkenaan selepas tiga hari penamaan calon dibuka.

“Mengikut format baru pemilihan, mereka yang hendak menawarkan diri hanya perlu menjadi ahli Umno selama tiga tahun dan membawa sekeping gambar berukuran pasport. Selepas penamaan calon ditutup, kita akan menghantar senarai calon pada 8 Mac ke ibu pejabat Umno bagi tujuan pengesahan, " katanya.

Beliau berkata, semua calon kemudian akan dimaklumkan urus setia Umno bahagian sama ada mereka layak atau tidak bertanding, sebaik ibu pejabat Umno memberikan pengesahan.

Tiada ulasan: