Rabu, 3 Mac 2010

Pas, DAP sokong Anwar

Oleh Anwar Hussin dan Amin Ridzuan Ishak


KUALA LUMPUR: Pas dan DAP semalam menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, walaupun dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli Bebas.

Semua 23 Ahli Parlimen Pas diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media bersama mereka yang dikeluarkan di sini, menyatakan mereka sepakat menyokong Anwar.

“Kami sedar yang rakyat mengundi kami kerana mahu kepada perubahan daripada suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan kerajaan yang bersih berasaskan prinsip agama dan moral.

“Kami kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Pembangkang yang memilih untuk meninggalkan prinsip murni perjuangan ini,” kata kenyataan media itu.

Mereka mengulas perkembangan terkini dalam PKR berikutan tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrin Mohd Hashim dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) mengumumkan keluar parti itu, masing-masing pada 12 Februari lalu dan kelmarin.

Berikutan perkembangan terkini itu, PKR kini hanya mempunyai 29 kerusi di Parlimen, iaitu lebih satu kerusi daripada DAP dan Pas (23).

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata, partinya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap kepemimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

“Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang meskipun Ahli Parlimen PKR kurang daripada 28 ahli (jumlah yang kini dimiliki oleh DAP),” katanya dalam kenyataan media.

Lim berkata, apa yang berlaku dalam PKR sekarang dalam proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi diperlukan bagi menjamin kredibiliti demi masa depan PKR dan Pakatan Pembangkang.

Di GEORGETOWN, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya memberikan sokongan kepada Anwar sebagai ketua pembangkang tanpa sebarang syarat dan sebulat suara.

“Tidak kira berapa ramai Ahli Parlimen dari PKR yang keluar, DAP akan tetap sokong Anwar sebagai ketua pembangkang dan bakal Perdana Menteri.

“Janganlah gembar-gemburkan dan cuba mempertikaikannya kerana ini bukannya satu isu,” katanya.

Ditanya jika DAP bersedia mengubah pendiriannya sekiranya ada desakan daripada Ahli Parlimen parti itu, Guan Eng yakin perkara berkenaan tidak akan berlaku.

"Selagi saya menjadi Setiausaha Agung DAP, kedudukan ini (menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang) tidak akan berubah," katanya.

Tiada ulasan: