Isnin, 1 Mac 2010

Panel baru dengar rayuan saman fitnah Anwar terhadap Mahathir

BERNAMA


PUTRAJAYA — Sebuah korum baharu Mahkamah Persekutuan akan ditubuhkan untuk mendengar permohonan kebenaran yang dikemukakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merayu terhadap keputusan mahkamah yang menolak saman fitnah RM100 juta beliau terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini berikutan keputusan dua daripada tiga hakim yang bersetuju menarik diri daripada mendengar permohonan itu yang dijadual didengar Isnin, berikutan permohonan yang dikemukakan peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh.

Karpal memohon Hakim Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin menarik diri atas alasan mereka sebelum ini pernah mengendalikan saman sivil Anwar terhadap Dr Mahathir berhubung pemecatannya daripada jawatan Kabinet yang melibatkan pihak-pihak yang sama.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria menangguhkan prosiding ke minggu depan dan berkata pihak-pihak dalam saman itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pendengaran itu.

Terdahulu, peguam Datuk V K Lingam yang mewakili Dr Mahathir berhujah untuk melucutkan kelayakan seorang hakim daripada mendengar rayuan itu, Anwar perlu menunjukkan bahawa akan wujud keadaan berat sebelah.

Anwar, memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Okt tahun lepas yang menolak rayuan Anwar atas alasan teknikal.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memorandum rayuan yang difailkan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris adalah satu kecacatan dan tidak sah dan bahawa dokumen mahkamah perlu difailkan dalam bahasa Malaysia.

Pada 1999, Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir bagi memfitnah kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang menuduhnya terbabit dalam perbuatan tidak bermoral pada satu sidang akhbar.

Pada 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk menggugurkan saman itu. Rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan ditolak.

Di luar mahkamah, Karpal memberitahu pemberita yang Mahkamah Persekutuan akan memutuskan Isnin depan dalam rayuan terakhir Anwar berhubung pemecatannya daripada jawatan Kabinet pada 1998.

Dalam kes itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon perintah supaya mahkamah mengisytiharkan pemecatan beliau sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Dr Mahathir adalah tidak mengikut undang-undang dan menuntut beliau dibayar ganti rugi sebagai gantian kepada dikembalikan semula jawatannya itu.

Tiada ulasan: