Isnin, 1 Mac 2010

Pak Lah bimbang kes keganasan rumah tangga meningkat

UTUSAN ONLINE


KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa bimbangnya terhadap peningkatan kejadian keganasan rumah tangga sejak akhir-akhir ini.

Abdullah berkata, banyak berita mengenai penderaan kanak-kanak dilaporkan masa kini sehingga menyebabkan kematian yang kebanyakannya berpunca daripada masalah keluarga mereka sendiri.

"Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana kanak-kanak kecil itu belum mengerti apa-apa, namun didera sehingga mati," ujarnya.

Beliau berkata, kepincangan yang berlaku di kalangan masyarakat dengan berlakunya kejadian jenayah dan salah laku itu juga sebenarnya bermula daripada kepincangan di dalam institusi keluarga itu sendiri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas di Penaga dekat sini, hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, terdahulu melancarkan program Juara Rakyat kawasan parlimen itu yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Hilmi Abd. Rashid.

Pada majlis itu, beliau turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga miskin serta bantuan beg sekolah untuk pelajar kurang berkemampuan.

Abdullah berkata, antara langkah yang boleh diambil bagi mengelak kejadian penderaan anak dan isteri ialah meningkatkan suasana berkasih sayang dalam keluarga.

Menurutnya, kasih sayang di dalam keluarga bukan hanya boleh ditunjukkan dengan pemberian hadiah atau wang ringgit dan makan minum, tetapi lebih daripada itu.

"Apabila wujudnya kasih sayang, barulah ada perasaan timbang rasa serta menafikan perkara-perkara yang boleh merosakkan rumah tangga.

"Malah ibu bapa perlu membimbing anak-anak dengan ilmu agama agar mereka rasa dikasihi dan tidak mencari orang lain untuk dijadikan tempat meluahkan perasaan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat harus bersikap prihatin dan mengambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka agar kejadian tidak diingini seperti penderaan dapat dibendung.

Beliau berkata, Skuad Sayang yang ditubuhkan hari ini boleh memainkan peranannya itu dengan mengambil berat terhadap masalah masyarakat setempat serta memahami masalah yang ada.

"Jangan cepat jemu membantu mereka yang memerlukan dan berilah bantuan sebaiknya dengan hati yang ikhlas," katanya.

Tiada ulasan: