Ahad, 7 Mac 2010

Nik Aziz: Mufti Perak tindak macam ejen Umno

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terkilan dengan Tan Sri Harussani Zakaria Khamis lalu yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan syor membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu, yang telah ditolak PAS tahun 2008, sambil menyifatkan Mufti Perak itu bertindak macam “ejen” Umno.”

Menteri Besar Kelantan itu berkata sekiranya Harussani berpandangan Islam dan politik harus selari, tetapi dalam masa yang sama terus melibatkan jubah muftinya dengan politik bererti beliau telah menjadi ejen.

“Dan dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen Umno. Kemuliaan seorang mufti hilang kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

“Saya kira, seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa),” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Nik Aziz (gambar) meluahkan perasaan itu ekoran tindakan Harussani yang menyebut namanya secara terbuka di hadapan khalayak pada program tersebut yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu.

Harussani mendakwa PAS bersikap angkuh dengan menolak syor agar dibentuk kerajaan campuran di negeri itu pada 2008 selepas pilihan raya umum ke-12.

Beliau mendakwa PAS Perak menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

“Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (Umno) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP).

“Saya tanya hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi. Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat PAS menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN.

“Sultan secara dasarnya berkenan dengan cadangan ini, tetapi dia (Ahmad) masih berkeras menolaknya. Saya kata al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu.

“Kemudian saya kata mana boleh kaedah fikah digunakan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai,” kata beliau dipetik akhbar tempatan.

Nik Aziz menambah hendak menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

“Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan,” katanya.

Beliau memberitahu mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang.

“Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik oleh seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz tidak mengesahkan dakwaan Harussani bertemunya sebaliknya hanya bertanya “tidakkah tindakan Harussani itu membuktikan keterlibatannya dengan politik?”

Tegasnya, jika mufti sendiri sanggup melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik.

“Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar.

“Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah Umno.

“Jika Mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS,” katanya.

Tiada ulasan: