Isnin, 1 Mac 2010

“Natrah pernah solat di ambin kami; Gedung Kuning” - Hidayah Amin

Oleh Mohd Ali Bakri

SINGAPURA : Natrah atau Maria Hertogh dikatakan pernah bersolat di ambin gedung Kuning; sebuah rumah besar milik seorang hartawan Melayu terkenal di Singapura sebelum peristiwa rusuhan Natrah, pada 1950.

Penulis buku 'Gedung Kuning, Memories of a Malay Childhood', Hidayah Amin berkata, ibunya dan Natrah berkawan rapat sebelum berlakunya peristiwa rusuhan tersebut.

"Kami kenal keluarga Natrah, sebab ibunya adalah seorang peniaga. Mereka selalu berkenalan dan Natrah juga datang ke Gedung Kuning, ibu saya bercerita bahawa Natrah sekeluarga pernah datang menziarahi kami di sini.

"Natrah selalu datang pakai baju kurung. Ibu saya yang jumpa Natrah. Moyang saya, Haji Yusoff Tali Pinggang memang kenal ibu angkat Natrah (Che' Aminah) itu.

"Jadi, biasalah kita jemput kawan datang ke rumah. Adat berkawan, ibu saya selalu bertemu dia (Natrah) dan dia pernah solat di ambin rumah Gedung Kuning kami," kata beliau ketika ditemui erapakatan.com di sini, hari ini.

Rusuhan Natrah di Singapura yang berlaku pada 11 Disember 1950 itu, menyebabkan 18 orang terbunuh dan dilaporkan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika masyarakat Melayu bertempur dengan tentera dan polis British.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan rusuhan dan perarakan besar oleh masyarakat Islam yang berakhir dengan perintah berkurung selama dua hari dua malam.

"Apabila mahkamah membuat keputusan melibatkan Natrah itu, ada juga kalangan ahli keluarga saya yang terlibat dengan perhimpunan untuk membela Natrah itu. Ada pakcik saya yang kena tembak," katanya yang merupakan cicit hartawan Singapura; Haji Yusof 'Tali Pinggang' itu.

Rumah Gedung Kuning, milik Haji Yusoff 'Tali Pinggang' adalah rumah bersejarah yang sudah diwartakan sebagai salah satu khazanah negara republik Singapura sejak 1999.

Haji Yusoff telah mengubah corak reka bentuk rumah ini dengan artifak dari kepulauan Melayu, lalu digabungkan dengan seni reka bentuk Asia, Eropah dan Africa.

Rumah ini masih tegak berdiri ketika penjajahan Jepun di Singapura sejak 1942 hingga 1945 dan ia hidup dengan upacara keagamaan suatu masa dahulu termasuk ia sangat meraikan golongan fakir miskin dengan menjemput mereka makan beramai-ramai.

"Sehingga ke hari terakhir, keluarga Haji Yusof keluar dari rumah ini, Gedung Kuning masih tegak berdiri megah dengan warga diraja bersama perhiasannya," tulisan Hidayah dipetik melalui laman sesawang gedungkuning.com.

Tiada ulasan: