Selasa, 9 Mac 2010

"Najib, Sabah bukan lagi deposit tetap BN",

Oleh Lim Hong Siang


Pertukaran kerajaan di peringkat negeri gagal membawa perubahan kepada dasar nasional, demikianlah mesej yang berulang kali ditekankan oleh Kalakau Untol, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, sebelum menyakinkan penyokong Pakatan Rakyat bahawa rakyat Sabah akan bangkit bersama PR pada PRU ke-13 untuk menubuhkan kerajaan persekutuan baru.

"Saya memperingatkan Dato Seri Najib, bahawa dia meletakkan Sabah (sebagai) Fixed Deposit Barisan (Nasional)...," sambungnya, "Minta maaf, PRU 13, detik penentuan. Rakyat Sabah akan bangkit bersama dengan Pakatan Rakyat!"

Kalakau Untol meneruskan ucapannya dalam tepukan gemuruh, menegaskan bahawa "it will not be fixed deposit anymore" (Ia bukan lagi deposit tetap).

"Sebab, kita ada kerajaan negeri Sabah, empat kali tukar kerajaan. This is the first time in Selangor (Ini kali pertama di Selangor). Sabah empat kali. Tapi kita tak boleh buat apa-apa. Kalau kita hanya tukar kerajaan negeri, kita tidak boleh tukar apa-apa dasar untuk negara," jelasnya.

Beliau berkata, "If we want to change the policy of the nation, it can only be changed if you change and form a new government, Pakatan Rakyat! (Kalau kita hendak tukar dasar nasional, ia hanya boleh ditukar kalau kamu menukar dan menubuhkan satu kerajaan baru, iaitu Pakatan Rakyat!)"

Dalam ucapan kemudiannya, beliau berkata, 'Kelantan sudah 20 tahun dipegang oleh parti bukan dalam BN. Tetapi tak boleh menukar dasar-dasar kerajaan. Even Terengganu pun pernah jadi pemerintah di luar BN, you can not change the policy. Even you, empat buah negeri, lima buah negeri yang diperintah oleh Pakatan, you can not change the policy."

"Kecuali kita semua rakyat Malaysia bangkit dengan kesedaran, menubuh kerajaan baru persekutuan. Baru kita boleh melakarkan dasar baru negara!" kata Kalakau Untol, yang diumumkan pengacara bahawa beliau sudah bersedia untuk menyertai PR.

Kalakau Untol, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990. Pada masa yang sama, beliau adalah Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Negeri Sabah selama 12 tahun sejak 1985.

Beliau mengumumkan bahawa dirinya telah meletakkan kesemua jawatannya dalam kerajaan pada 18 Februari 2010 kepada lebih daripada 4,000 penyokong PR dalam "Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor", di Stadium Malawati Shah Alam, semalam.

Mengkaji semula "Perjanjian Malaysia"

"Keputusan saya berbuat demikian ialah, saya terpanggil dengan keputusan konvensyen PR yang lepas. Untuk kali pertama dalam 46 tahun kita menubuhkan negara Malaysia, menyatakan bahawa PR bersedia untuk mengkaji semula (review) perjanjian Malaysia, khususnya, Sabah, Sarawak," jelas beliau.

Beliau menambah, perkara ini cukup menarik untuk rakyat di Sabah yang pernah menyaksikan bagaimana pemimpin Malaysia Timur seperti Stephen Kalong Ningkan dan Tun Mustapha dijatuhkan oleh kerajaan persekutuan UMNO kerana membangkitkan penilaian semula terhadap Perjanjian Malaysia.

Konvensyen PR pertama yang diadakan 19 Disember 2009 telah meluluskan Dasar Pakatan Rakyat, yang mana pada bab "Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara"-nya, bersetuju bahawa "Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat sebelah, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur." 【Baca: Dasar Pakatan Rakyat】

Rakyat Sabah tidak buta

Kalakau Untol yang menyifatkan bahawa dirinya telah memasuki "khemah inspirasi", cuba menyuntik semangat kepada PR di Selangor, berkata "tv, radio, risalah dibuat di Sabah, mengatakan Pakatan akan berpecah. Pakatan akan ranap. Itu yang digambarkan (kepada) Sabah. Tetapi malam ini, apabila ditayangkan pencapaian negeri Selangor, saya ingat that is the best and that is the module for the country (Itulah yang terbaik dan itulah teladan untuk negara)."

Malah, beliau sempat mengusik PM Najib Razak, ketika mengakui bahawa gejala rasuah berleluasa di Sabah. "Di Sabah juga, perkara rasuah bukanlah perkara yang baru. Selalu diuar-uarkan, selalu diperkatakan. Selalu dilemparkan bahawa kerajaan negeri rasuah."

Beliau menambah, "Saya tidak begitu marah dengan kerajaan yang ada, kerana Najib juga demikian! Kalau guru kencing berlari, apa jadi dengan anak?"

Kalakau Untol juga menyanggah dakwaan bahawa Sabah tidak mengikuti perkembangan politik nasional. Beliau berkata, "kita akan mengikuti apa yang terjadi kepada mendiang Teoh Beng Hock. Kita juga mengikuti perkembangan Tan Sri Khalid Ibrahim disiasat oleh MACC. Kita juga mengikuti perkembangan mengenai dengan penyeksaan dan fitnah yang dilemparkan kepada DSAI, Dato Seri Anwar Ibrahim!"

"Orang Sabah tidak buta dengan perkembangan politik. Jangan fikir Najib, suatu ketika dulu, apabila pemimpin-pemimpin UMNO datang ke Sabah, memperkatakan sesuatu bahawa Barisan Nasional itu kuat, kata itu menjadi political mantra. Kata-kata itu jadi azimat politik kepada local based party."

"Tetapi sekarang ini, siapa juga pemimpin BN sampai ke Sabah dan mengatakan BN kuat, jangan. Kita tidak percaya!" sambungnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau sekali lagi menekankan, "Jikalau kita nak bikin satu dasar negara yang relevan, pilihan kita ialah... Pada PRU 13, detik penentuan, Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik!"

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: