Isnin, 15 Mac 2010

MP PR mahu Parlimen jadi `world class parliament'

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub (gambar) memberi jaminan bahawa semua ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat akan menyampaikan perbahasan secara profesional dan bertanggungjawab kerana ianya penting untuk memastikan agenda perbahasan itu tercapai.

Beliau berkata, semua ahli parlimen bertanggungjawab dalam memastikan martabat Parlimen terus terjaga dan setanding dengan Parlimen di negara-negara lain.

"Memang menjadi iltizam kami bahawa kami akan membawa perbahasan yang bernas, berfakta dan bertanggungjawab kerana bagi saya adalah penting untuk kita membawa agenda yang lebih bermatlamat.

"Seharusnya perbahasan yang berfakta itu penting untuk meningkatkan kualiti kami sebagai Ahli Parlimen dan mengangkat Parlimen ini sebagai sebuah Parlimen yang mempunyai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan memberikan perbahasan yang bermutu setanding dengan negara lain, apa yang dikatakan 'world class parliament'," katanya di lobi parlimen tengahari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menegur sikap sesetengah ahli parlimen yang menunjukkan sikap yang tidak baik sewaktu sesi perbahasan.

"Sejak dua pengggal berturut-turut sebelum ini beta mengingatkan Ahli Yang Berhormat supaya menunjukkan sifat yang terpuji dalam dewan yang mulia ini. Beta dukacita masih terdapat Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat," titah baginda.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, teguran Tuanku Mizan itu harus dipandang positif oleh semua ahli parlimen sama ada daripada Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional mahupun Bebas untuk meningkatkan mutu perbahasan.

"Saya rasa teguran itu ditujukan kepada umum, untuk kita menilai diri sendiri. Seharusnya ia dipandang positif untuk kita meningkatkan mutu perbahasan kita," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, teguran itu tidak harus dilihat daripada aspek perbahasan sahaja, namun apa yang penting juga adalah prinsip perjuangan seseorang ahli parlimen itu.

Naib Presiden PAS itu merujuk kepada tindakan beberapa ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat yang keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas.

"Contoh yang terbaik ialah ahli parlimen yang ada prinsip, yang tidak melompat daripada mana-mana parti lain. Ini yang harus dilihat.

"Apabila kita sebut contoh itu, bukan bermakna soal berbahas berasaskan fakta dalam parlimen tapi turut menjadi contoh kepada orang ramai ialah mereka yang ada prinsip yang tidak melompat seperti mana beberapa ahli parlimen yang melompat.

"Jadi saya kira titah Yang Di-Pertuan Agong itu harus diambil iktibar oleh ahli parlimen yang melompat kerana mereka telah mengecewakan rakyat. Jadi mereka harus melepaskan jawatan mereka sebagai ahli parlimen," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar kiri) pula berkata, ahli parlimen di negara ini harus mencontohi ahli parlimen negara luar yang berani menolak usul daripada pihak kerajaan apabila ia dilihat tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Sambil menerima teguran Tuanku Mizan itu, beliau juga berkata, ahli parlimen tidak harus menjadi 'pak turut ' kepada kerajaan sebaliknya harus bertindak sebagai 'check and balance'.

"Kalau kita tengok ahli parlimen negara lain, mereka berani menegur kerajaan. Kalau kita tengok di negara-negara maju, banyak ahli parlimennya menolak usul kerajaan yang mereka rasa boleh merugikan rakyat. Itulah yang sepatutnya diberikan penekanan, supaya ahli parlimen tidak menjadi pak turut sahaja kepada kerajaan yang sedia ada tapi kedua-dua pihak mesti menjadi ‘check and balance’," katanya.

Tiada ulasan: