Isnin, 1 Mac 2010

Media Perlu Siar Lebih Banyak Program Anti Dera - Rais

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Media cetak dan elektronik disaran menyiarkan lebih banyak program kesedaran agar masyarakat membenci dan menentang perbuatan mendera kanak-kanak, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya tanggungjawab itu bukan sahaja perlu dimainkan oleh stesen televisyen kerajaan dan swasta tetapi juga akhbar dam majalah serta mana-mana saluran media yang lain.

"Kita akan buat lebih banyak program. Sudah sampai masanya bukan sahaja RTM, tetapi juga TV3 dan saluran lain seperti akhbar untuk menyelitkan unsur kesedaran dalam program itu," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan Jom Heboh 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes kematian kanak-kanak perempuan Syafia Humairah Sahari, 3, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali, Khamis lalu.

Menurutnya masyarakat juga sudah tidak boleh menerima lagi perbuatan seperti itu yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Mengenai Jom Heboh, Rais berkata beliau berharap ia akan menjadi satu jambatan untuk masyarakat menggerakkan nilai-nilai murni dan budaya dalam masyarakat melalui program yang diatur dan hiburan yang disajikan.

"Hiburan atau kegiatan seperti ini sinonim dengan generasi muda hari ini. Saya juga yakin gagasan 1Malaysia juga akan mendapat imbuhan daripada program yang digemari ramai ini," katanya.

Beliau juga gembira kerana program itu, yang dahulunya dikenali sebagai Sure Heboh, telah ditukar nama kepada perkataan yang lebih mengiktiraf bahasa Melayu iaitu Jom Heboh.

Tiada ulasan: