Isnin, 15 Mac 2010

MCA terus bergolak, Ong Ka Ting kembali bertanding?

BERNAMA

Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, menyatakan rasa hairannya terhadap kemunculan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting yang dikatakan mahu kembali menerajui parti itu pada pemilihan baru parti itu pada 28 Mac ini.

Katanya tindakan Ka Ting itu jelas bertentangan dengan kenyataannya yang tidak mahu mencampuri urusan parti itu ketika mengumumkan untuk berundur diri daripada bidang politik sebelum ini.

“Malah sebagai bekas pemimpin parti, dia telah mendiamkan diri ketika MCA menghadapi masalah dalaman yang serius,” katanya kepada pemberita selepas majlis ikrar 400 orang ketua-ketua masyarakat di sebuah restoran di Jalan Bakri di sini.

Ka Ting sepatutnya tampil awal-awal lagi untuk membantu menyelesaikan krisis dalaman sehingga menyebabkan parti itu berdepan dengan perpecahan, katanya.

Dr Chua, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor, mendakwa kesediaan Ka Ting untuk kembali memimpin semula parti itu akan membawa MCA berpecah kepada empat kumpulan.

Bagaimanapun, katanya, seperti juga kesediaan presiden Datuk Seri Ong Tee Keat mempertahankan jawatannya pada pemilihan itu, Ka Ting juga berhak bertanding sebagai ahli parti.

Sebelum itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Dr Chua mengajak perwakilan MCA Johor memastikan mereka menyokong calon dari negeri ini yang bertanding jawatan tertinggi dalam parti.

Beliau mendakwa mengikut pengalaman lepas, mana-mana pemimpin datang ke Johor untuk mendapat sokongan tetapi tidak mengendahkan masalah anggota negeri itu selepas mendapat jawatan.

Katanya pemimpin luar dari negeri itu hanya menumpukan perhatian masing-masing di peringkat pusat sahaja dan jarang sekali turun padang untuk mendengar masalah ahli parti di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan calon Johor yang patut diberi sokongan padu pada pemilihan itu nanti.

Tiada ulasan: