Jumaat, 5 Mac 2010

MB Perak: Perbadanan Aset Kereta Api melampau minta RM37 juta

BERNAMA

IPOH — Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) hari ini melahirkan rasa kecewa dengan permintaan RM37 juta oleh Perbadanan Aset Kereta Api (PAK) bagi pengambilalihan tanah perbadanan itu di Kuala Sepetang, 90km dari sini, untuk diserahkan kepada penduduk di situ.

Sambil menyifatkan angka itu sebagai “melampau”, beliau meminta PAK menimbang semula kadar pembayaran itu demi kepentingan rakyat.

“Jawapan saya kepada mereka adalah tidak (untuk membuat pembayaran). Saya akan memperjuangkan ini kerana ia adalah untuk rakyat. Jadi mengapa mereka mengenakan bayaran yang terlampau, ia adalah caj yang tidak masuk akal. Apa ini?” katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Tanah dan Galian Daerah di sini hari ini.

Pada 27 Jan lepas, Jemaah Menteri bersetuju tanah rizab kereta api antara Taiping dan Kuala Sepetang seluas 94.5 hektar, yang tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api, dilepaskan kepada kerajaan negeri Perak.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan serta rundingan yang mengambil masa antara empat dan lima bulan selepas kerajaan berjanji semasa pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada Mac tahun lepas untuk menyelesaikan isu tanah yang melibatkan kira-kira 300 penduduk di Kuala Sepetang.

Kebanyakan penduduk yang tinggal di tanah berkenaan yang sebelum itu mempunyai landasan kereta api menghubungkan Port Weld (kini Kuala Sepetang) dengan bandar Taiping terdiri nelayan.

Zambry berkata beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat semalam dan masih menunggu maklumat balas.

“Saya turut menyuarakan (kepada Menteri Pengangkutan) bahawa ia (kadar pembayaran tanah berkenaan) bukan melibatkan tujuan komersial tetapi untuk rakyat yang telah tinggal di kawasan itu sejak dulu,” katanya.

Zambry berkata apa juga tindakan kerajaan negeri berhubung pembayaran itu merupakan langkah ke arah menyelesaikan isu setinggan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Ada antara penduduk menghuni tanah tersebut selama empat generasi dan membayar sewa tahunan kepada KTMB dan Perbadanan Pengurusan Aset Kereta Api tetapi bilangan penduduk sebenar tidak dapat ditentukan kerana ada yang tidak membayar sewa.

Tiada ulasan: