Ahad, 7 Mac 2010

Mayat bayi dalam parit

Oleh Matzidi Dris


KUCHING: Dua kanak-kanak lelaki yang bermain di tepi parit dekat sebuah taman perumahan berhampiran Pasar Komuniti Stutong di Tabuan Jaya, dekat sini, terkejut apabila menemui mayat bayi yang baru dilahirkan, dalam parit berkenaan.

Mereka pada mulanya menyangkakan benda yang berbungkus dengan kain tuala itu anak patung, namun selepas menghampiri dan membelek, mereka dapati ia mayat bayi perempuan yang cukup sifat.

Dua kanak-kanak terbabit, kemudian memaklumkan perkara itu kepada penduduk lain di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Mun Kok Keong, berkata mayat bayi perempuan itu ditemui pada jam 2.45 petang oleh dua kanak-kanak lelaki terbabit.

“Bayi perempuan itu, dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Ketika pemeriksaan dibuat, ada kesan darah pada pusat bayi berkenaan.

“Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya semalam.

Mun berkata, polis kini sedang mengesan ibu bayi berkenaan.

Sehubungan itu, Mun meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di talian 082- 241133 untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: