Sabtu, 13 Mac 2010

Masalah cari jodoh antara aduan diterima Pemuda Umno

THE MALYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Masalah mencari jodoh merupakan antara 200 aduan diterima oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno daripada masyarakat sejak ia beroperasi Mei lalu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata kebanyakan daripada kes itu telah diselesaikan walaupun ada antaranya bersifat peribadi seperti masalah mencari jodoh.

“Matlamat biro adalah sebagai pemudahcara kepada rakyat. Kita akan bantu mana yang boleh,” kata beliau kepada Bernama di pejabat biro itu di Solaris Dutamas di sini hari ini bagi mengulas perkembangan terkini biro aduan itu.

Beliau berkata antara jenis aduan diterima ialah masalah kewangan, ah long, masalah kerja, surat sokongan, penipuan, masalah pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), keldai dadah dan kes lari ke luar negara.

Terbaru, biro itu membantu membawa pulang pelakon remaja Salsabila Yunan, 15, yang dilapor dilarikan ke Lombok, Jawa Tengah pada Ogos tahun lepas dan selamat pulang ke tanah air pada 23 Feb.

Khairun berkata kes dirujuk kepada biro itu juga tidak terhad kepada orang Melayu.

Beliau memberikan contoh peranan biro itu dalam menyelesaikan kes pesakit mental P.Jeyakumar yang cuba dijadikan “keldai dadah” untuk menyeludup bahan terlarang itu di Argentina pada akhir tahun lepas.

“Dalam kes Tan Gek Kon pula kita membantu pesakit jantung kronik itu melalui kempen jantung budiman dengan kerjasana Institut Jantung Negara (IJN) pada November lepas untuk mendapatkan penderma jantung baru,” katanya sambil menegaskan biro itu tidak bertujuan menyaingi mana-mana badan aduan lain.

Khairun berkata pihaknya juga tidak akan mempedulikan pandangan skeptikal sesetengah pihak kononnya biro itu ditubuh untuk mendapatkan sokongan rakyat kerana menjadi tanggungjawab biro untuk mengambil berat masalah rakyat.

Tiada ulasan: