Selasa, 9 Mac 2010

LPP rancang komersialkan ternakan burung walid


SINAR HARIAN ONLINE


BACHOK - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merancang untuk mengkomersialkan penternakan burung walid dengan memberi geran kepada petani dalam kelompok miskin tegar di negara ini bagi membolehkan mereka membela burung berkenaan di kawasan bendang dan bumbung rumah mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mariam Mas Yaacob berkata, penternakan burung walid tersebut adalah salah satu projek yang diumumkan Perdana Menteri dalam bajet 2010 mengenai sumber-sumber baru pertanian yang patut diterokai peladang selain daripada ikan hiasan dan rumpai laut.

“Pada tahun ini, kementerian telah memperuntukkan RM50 juta untuk diberi kepada rakyat miskin, dengan jumlah RM10,000 seorang untuk tujuan itu," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunung kali ke 33, di sini, semalam.

Mariam Mas berkata, pihaknya memilih burung walid kerana sarang burung itu mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa dengan harga antara RM4,000 hingga RM5,000 sekilogram.

“Kita harap golongan berpendapatan rendah juga akan mendapat manfaat dari penternakan burung walit ini seterusnya keluar dari kepompong miskin tegar," katanya.

Menurutnya, ini adalah cadangan untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan bermula tahun depan, dan pihak LPP akan memohon peruntukan sebanyak RM50 juta daripada kerajaan untuk tujuan itu.

Tiada ulasan: