Khamis, 4 Mac 2010

‘Lompat katak’ kerana masalah peribadi, kewangan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen (AP) yang melompat katak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berbuat serupa terdahulu menghadapi masalah peribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat selain tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen, tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

Menurutnya, pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan isterinya menemui hampir semua sebelum mereka keluar termasuk juga beberapa orang bukan Adun atau AP yang boleh diperalatkan dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka.

“Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni korporatnya untuk membeli Adun dan AP, terutama dari PKR,” ujarnya.

Beliau turut membidas Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran.

Katanya, tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan PKR lebih teguh dan mantap serta disokong rakyat ramai.

Tiada ulasan: