Isnin, 1 Mac 2010

LKIM tambah import ikan sejuk beku dari 4 negara

Oleh Amir Mamat dan Noor Azimah Romli


KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah mengambil inisiatif awal dengan menambah import bekalan ikan sejuk beku dari India, Myanmar, Bangladesh dan China jika pengimport meneruskan tindakan memboikot import ikan.

Pengarah Pemasaran LKIM, Moharin Mohamad Tamin, berkata Malaysia ketika ini hanya mengimport 25 peratus daripada bekalan ikan basahnya, kebanyakannya dari Thailand dan Indonesia.

“Sebanyak 85 peratus ikan basah itu diimport dari Thailand iaitu ikan pelaling, selar, cencaru, selayang dan kerisi manakala dari Indonesia hanya 15 peratus ikan bergred mahal iaitu jenahak, kerapu, tenggiri dan merah.

“Berkuat kuasa esok (hari ini) kita akan memantau bekalan ikan di semua pasar borong utama di seluruh negara sama ada berlaku kekurangan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, jika bekalan ikan berkurangan berikutan tindakan pemborong ikan memberhentikan import ikan basah, LKIM akan mengimport ikan sejuk beku untuk mengatasi kekurangan itu.

Moharin berkata, LKIM juga tidak dapat menolak kemungkinan harga ikan akan naik berikutan kekurangan bekalan ikan di pasaran.

“Isu penggunaan kotak berinsulasi bagi ikan import tertunggak hampir empat tahun dan sudah sampai masanya ia diselesaikan,” katanya.

Arahan penggunaan kotak berinsulasi bagi ikan diimport kali pertama dikeluarkan pada 2006, ditangguhkan atas bantahan pemborong ikan selain isu mengenai spesifikasi serta reka bentuk kotak.

Di JASIN, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata kerajaan tidak akan berkompromi berhubung penggunaan mikrocip pada kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan meskipun ada pengimport berdolak-dalik serta mengugut untuk menghentikan operasi membawa masuk ikan ke negara ini.

Beliau berkata, mikrocip itu akan memudahkan pihak berkuasa mengesan nama pemilik, berat serta kandungannya selain mempermudahkan pengesanan sekiranya ada unsur jenayah.

“Soal harga kotak didakwa mahal juga tidak timbul kerana kerajaan bersetuju memberi subsidi RM2.4 juta kepada pengimport ikan.

“Bagi kotak berinsulasi 100 kilogram (kg), harganya RM205 seunit dan subsidi diberikan kerajaan RM60 seunit menjadikan harga selepas subsidi cuma RM145, manakala harga kotak 50 kg pula pula diberi subsidi RM30 menjadikannya RM945 sen.

“Penguatkuasaan kotak itu bermula hari ini secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya November depan,” katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat Masyarakat Penyayang Parlimen Jasin dan Yayasan Angin Ahmar Melaka dekat sini, semalam.

Tiada ulasan: