Selasa, 2 Mac 2010

Lebuh raya kedua utara-selatan dirancang

SINAR HARIAN ONLINE


SEREMBAN – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Unit Kerjasama Awam (Ukas) Jabatan Perdana Menteri sedang mengkaji cadangan mewujudkan lebuh raya kedua dari utara ke selatan jika pembinaan tersebut dilihat sebagai keperluan kepada pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, cadangan pembinaan jajaran lebuh raya kedua itu juga berikutan faktor peningkatan kadar trafik.

“Kerajaan melihat jumlah trafik yang meningkat kini menjurus kepada cadangan samaada lebuh raya kedua utara ke selatan perlu dibina atau sebaliknya.

“Semuanya masih peringkat cadangan dan pihak LLM akan mengkaji sejauhmana keperluan lebuh raya kedua ini dan kesannya kelak,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan persimpangan Setul dan Ampangan di Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) di Plaza Tol Setul, dekat sini, semalam.

Shaziman berkata, LLM juga sedang mengkaji cadangan pembinaan jajaran baru dari Banting ke Taiping yang dianggar bernilai RM5 hingga RM6 bilion.

“Permintaan untuk pembinaan lebuh raya itu ada namun, kita masih mengkaji kadar trafik di lebuhraya sedia ada,”katanya.

Dalam pada itu, Shaziman berkata, 10 lokasi 'blackspot' di lebuhraya dimana lapan lokasi di lebuhraya Utara Selatan dan dua lokasi di lebuhraya Kuala Lumpur – Karak telah dikenalpasti pihak LLM.

“Lapan lokasi 'blackspot' di lebuhraya Utara-Selatan ialah di Kilometer 102.8 NB (Sungai Petani Selatan – Sg. Petani Utara), Kilometer 257.0 NB (Kuala Kangsar – Jelapang), Kilometer 256.4 NB (Kuala Kangsar – Jelapang), Kilometer 373.0 NB (Slim River – Behrang), Kilometer 399.4 SB (Behrang – Tg. Malim), Kilometer 431.4 SB (Bukit Beruntung- Rawang), Kilometer 6.7 SB (Plaza Tol Sg. Rasau) dan Kilometer 17.2 SB (Ramp A – Persimpangan Damansara).

“Manakala dua lokasi blackspot di lebuhraya Kuala Lumpur – Karak ialah di Kilometer 71.4 EB (Bentong – Karak) dan Kilometer 71.5 EB (Bentong – Karak).

“Kini, usaha-usaha sedang dijalankan bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan di semua kawasan blackspot ini,” katanya.

Tiada ulasan: