Rabu, 3 Mac 2010

Lebih 3,000 Sukarelawan Polis Bantu Banteras Jenayah

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


PETALING JAYA: Seramai 3,160 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang telah tamat latihan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) akan terlibat dalam menjayakan Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, buat masa ini seramai 37,883 pegawai dan anggota polis telah dikerahkan dalam program berkenaan.

"Jumlah ini melibatkan 803 anggota Rela dan JPAM di Kuala Lumpur, Selangor (885), Johor (947) dan Pulau Pinang (525)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kota Damansara di sini semalam.

Program tersebut disasarkan di 50 kawasan panas yang kerap berlaku kejadian jenayah khususnya di negeri-negeri terbabit.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, kerajaan memberi jaminan akan berusaha menangani masalah jenayah secara bersungguh-sungguh demi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Kesungguhan tersebut diterjemahkan dengan penurunan indeks jenayah sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat tahun 2009 berbanding suku kedua tahun yang sama serta penurunan jenayah jalanan sebanyak 7.6 peratus," katanya.

Sementara itu, kerajaan turut memperkenalkan "Liga Balai Polis' bagi mengiktiraf prestasi dan pencapaian balai polis dalam mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara.

Menurut Hishammuddin, liga itu akan sebagai usaha untuk memperkasakan perkhidmatan di 754 buah balai polis seluruh negara, selain memperlihatkan tahap kerjasama antara anggota dan masyarakat setempat.

"Ia juga sebagai langkah dalam menjayakan agenda mengurangkan kadar jenayah yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan tidak akan mewujudkan inisiatif-inisiatif baru dalam NKRA sebaliknya akan terus melaksanakannya demi kepentingan rakyat dalam mencegah jenayah secara menyeluruh.

Menurutnya, fokus kini tertumpu kepada kehadiran fizikal pihak berkuasa dan infrastruktur seperti balai-balai bergerak bagi memudahkan orang ramai membuat aduan kepada pihak polis.

"Tiada lagi merintis atau merancang dan mendengar pandangan, kita akan terus turun padang membanteras jenayah.

"Pelaksanaan program ini bagi menunjukkan kesungguhan serta komitmen KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan usaha menurunkan indeks kadar jenayah hingga lima peratus hujung tahun ini.

"Pada masa yang sama kita berhasrat menurunkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus dalam tempoh sama seperti yang digariskan NKRA," katanya.

Kerajaan katanya akan menyediakan motosikal kepada setiap anggota polis yang mendapat peruntukan khas yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"Seorang anggota yang ingin mengawal di kawasan yang luas pasti sukar, jadi kerajaan sediakan motosikal pada mereka," katanya.

Tiada ulasan: