Isnin, 15 Mac 2010

Khalid Yakin Cabang Kuala Selangor Masih Utuh

Oleh Fazilah Sahir


SUNGAI BULOH - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan KEADILAN Cabang Kuala Selangor yang diketuainya lumpuh serta wujudnya undi tidak percaya ke atas Mesyuarat Agong Cabang Kuala Selangor yang diadakan semalam.

Beliau menjelaskan mesyuarat pada kali ini berjalan dengan lancar dengan lima perwakilan peringkat Cabang Kuala Selangor dilantik bagi menghadiri Kongres KEADILAN yang bakal ditetapkan kelak.

Malah tiada pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi cabang diadakan pada mesyuarat kali ini bagi memberi laluan kepada persediaan penggubalan perlembagaan KEADILAN yang baru.

"Bagi tahun ini mesyuarat agung tiada pemilihan sebab kita nak buat persediaan di bawah perlembagaan KEADILAN yang baru di mana akan diadakan pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) melalui undian keseluruhan.

"Melalui proses ini semua ahli akan mendapat peluang untuk memilih ahli MPT termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Mesyuarat Agung Tahunan di Dewan Orang Ramai Sungai Buloh petang semalam.

Beliau yang juga Ketua Cabang Kuala Selangor berkata ahli jawatankuasa sedia ada dikekalkan sehingga akhir tahun ini sehingga satu mesyuarat jawatankuasa Cabang diadakan akhir tahun ini.

"AJK Cabang yang lama akan terus kekal sehingga hujung tahun ini tapi satu mesyuarat khas membabitkan jawatankuasa cabang yang akan diadakan akhir tahun ini," kata beliau.

Khalid turut menepis rungutan dan kekecewaan yang didakwa segelintir ahli berhubung pemberian kontrak dan dana seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Mereka tidak boleh buat tindakan sebegitu. Mereka mesti memahami perbezaan bidang kuasa saya dalam parti dengan pentadbiran kerajaan negeri. Mereka perlu faham tindakan sedemikian diambil atas kapasiti saya sebagai Menteri Besar bukannya sebagai Ketua Cabang," tegas beliau.

Beliau turut melahirkan keyakinan di atas sokongan ahli walaupun kini terdapat pelbagai spekulasi timbul membabitkan kredibilitinya sebagai Ketua Cabang.

"Ramai orang berminat untuk sertai KEADILAN. Sehingga kini di Cabang Kuala Selangor kita telah memperolehi 4,821 ahli.

Kehadiran 300 ahli dalam mesyuarat agung hari ini juga cukup meyakinkan. Nampak sekarang penyatuan parti di sini membabitkan pentadbiran di cabang saya," katanya.

Tiada ulasan: