Selasa, 2 Mac 2010

Kes Saman MB Selangor Terhadap Bank Islam Ditetapkan 15 Mac

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan empat hari mulai 15 Mac untuk mendengar saman difailkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), yang mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham miliknya dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas menemui peguam yang mewakili Abdul Khalid, M. Thomas Philip, dan peguam bank berkenaan, Ganesan Nethi.

Abdul Khalid memfailkan saman terhadap bank itu pada 18 Mei, 2007, dengan mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham dalam Guthrie mengikut kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa ada kontrak kolateral antara beliau dan bank itu berhubung kemudahan pinjaman BBA.

Abdul Khalid, yang merupakan CEO Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, dengan mendakwa bahawa bank itu telah menjual saham-sahamnya dalam Guthrie.

BIMB memfailkan saman balas untuk mendapatkan jumlah wang itu pada 24 Mei 2007, dengan mendakwa bahawa perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil telah dilanggar berikutan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman itu.

Tiada ulasan: