Ahad, 7 Mac 2010

Kerajaan Negeri Anjur Karnival Sungai Klang 13-14 Mac

SELANGOR KINI

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri akan menganjurkan Karnival Sungai Klang 2010 selama dua hari pada 13 dan 14 Mac ini (Sabtu dan Ahad) bertempat di Taman Pengkalan Batu, Klang.

Karnival ini adalah antara beberapa acara yang dianjurkan kerajaan negeri bersempena sambutan Ulang Tahun Kedua Pakatan Rakyat di Selangor.

Sultan Selangor, Tuanku Sultan Sarafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk berangkat bagi melepaskan peserta Larian Bandar Diraja yang dijangka disertai kira-kira 5,000 peserta.

Selain Larian Bandar Diraja, Karnival Sungai Klang 2010 ini juga akan dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pertandingan kayak, pertandingan memancing, ‘River Hunt’, pertandingan melukis, ‘flying fox’ dan ‘shopping game’, persembahan kombo pihak berkuasa tempatan dan hiburan artis tempatan.

Pembangunan di pesisir Sungai Klang menjadi fokus utama kepada kerajaan negeri dan usaha ini menjadi agenda penting dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang sedang berjalan dan bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor.

Rakyat Selangor boleh mengetahui lebih lanjut lagi tentang rancangan pembersihan dan pembangunan Sungai Klang melalui pameran yang diadakan jabatan kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Orang ramai dijemput dan dialu-alukan menghadiri Karnival Sungai Selangor 2010 ini yang pertama kali diadakan di negeri ini.

Karnival ini dianjurkan bersama MPK, PKNS, PNSB, HSBC Amanah, Salcon PPC Joint Venture, Global Environment Centre, Soka Gakkai Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: