Isnin, 15 Mac 2010

Kerajaan disaran lantik pesuruhjaya Suhakam yang faham isu hak asasi

BERNAMA


KUANTAN: Kerajaan disaran melantik pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baru bulan depan berdasarkan mereka yang benar-benar ingin menegakkan hak asasi manusia.

Presiden Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Datuk Marimuthu Nadason, berkata kesemua pesuruhjaya yang bakal dilantik untuk tempoh tiga tahun itu perlu mempunyai latar belakang yang berkaitan serta memahami isu-isu hak asasi manusia dan kesamarataan gender.

"Mereka yang dipilih oleh jawatankuasa pemilihan ini tidak boleh mempunyai kepentingan politik, ekonomi dan agama, mereka mesti berkecuali jadi rakyat akan lebih percaya kepada Suhakam," katanya selepas menghadiri Sesi Umum Kebangsaan Mengenai Suhakam di sini, hari ini. Ketika ini, Suhakam mempunyai 16 pesuruhjaya, namun Akta Suhakam 1999 membenarkan pelantikan sehingga 20 ahli.

Katanya, kerajaan juga perlu mengkaji agar tugas pesuruhjaya terbabit dilaksanakan secara sepenuh masa supaya mereka dapat memberi tumpuan yang lebih dalam menjalankan tanggungjawab.

"Pesuruhjaya ini perlulah sepenuh masa, bukan seorang sahaja yang buat kerja padahal yang lain juga mendapat kemudahan yang sama," katanya.

Selain itu, katanya, pihak jawatankuasa pemilihan juga disaran menyeimbangkan keahlian pesuruhjaya wanita supaya isu-isu berkaitan hak asasi golongan tersebut dapat diketengahkan.

Justeru, Marimuthu berkata, pihaknya sudah menyerahkan senarai calon jawatan itu untuk dipertimbangkan kerajaan selepas mendapat maklum balas daripada NGO di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam, berkata kesedaran berhubung isu hak asasi di negara ini dilihat semakin meningkat termasuk di kalangan pelajar berdasarkan penganjuran sesi-sesi dialog dan ceramah di peringkat sekolah dan universiti.

Malah katanya, pihak penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) turut menerapkan unsur hak asasi manusia dalam latihan mereka.

Justeru, katanya, badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada rakyat berhubung hak asasi manusia tanpa mempunyai agenda disebaliknya.

"NGO harus menumpukan terhadap isu hak asasi itu sendiri, tidak perlu menjadi anti kerajaan, sebaliknya kita boleh bekerjasama kerana kerajaan harus dengar pandangan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: