Khamis, 4 Mac 2010

Kerajaan Akan Keluarkan Garis Panduan "Komuniti Berpengawal"

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengumumkan tidak lama lagi garis panduan tentang kawasan perumahan jenis "komuniti berpengawal" berikutan kemunculan semakin banyak konsep perumahan seperti itu kebelakangan ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata oleh kerana belum terdapat garis panduan khusus mengenainya, maka kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mewujudkan undang-undang kecil masing-masing yang tidak seragam.

"Kebanyakan komuniti berpengawal ini diwujudkan oleh kumpulan pemilik rumah atas daya usaha sendiri. Oleh kerana timbul beberapa isu berkaitan undang-undang, maka kami perlu mewujudkan garis panduan mengenainya," kata beliau kepada Bernama hari ini.

Komuniti berpengawal bukan sesuatu yang baru di negara ini. Ia muncul apabila sekumpulan penduduk menggunakan khidmat pengawal keselamatan dan memagar kawasan taman mereka bagi tujuan mencegah jenayah.

Tetapi, ada persatuan penduduk yang menggunakan undang-undang sendiri untuk memagar kawasan tertentu dan menutup jalan dengan sesuka hati dan dalam sesetengah kes, tanpa berbincang dengan penduduk lain di kawasan mereka.

Walaupun langkah itu dikatakan mampu mengurangkan kegiatan jenayah, namun ia menimbulkan beberapa isu undang-undang serta melanggar Akta Jalan Raya, Perparitan dan Bangunan 1974.

Akta berkenaan menyebut bahawa tiada mana-mana jalan awam boleh dihalang. Peraturan serupa terpakai mengikut Seksyen 62 dan 136 Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Undang-undang juga menyebut bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang cuba menghalang atau mengawal kawasan awam atau menutup, menghalang dan menyekat penggunaan jalan, parit atau ruang awam, tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa berkenaan.

Perbuatan memagar taman perumahan dengan sesuka hati adalah bercanggah dengan Seksyen 46 (1) Akta Perparitan Awam dan Bangunan 1974, Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 62 dan 136 Kanun Tanah Negara 1965.

Di samping itu, sekiranya pos pengawal didirikan di atas tanah awam atau di bahu jalan, ia melanggar peruntukan di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976. Seksyen 46 (1) Akta Perparitan Jalan dan Bangunan juga melarang seseorang daripada membina, mendirikan, menyenggara atau mengeluarkan permit bagi menyenggara sebarang tembok atau pagar di tempat awam. Adalah juga menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menutup atau menghalang sebarang longkang terbuka atau saluran air di tepi jalan, tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, kata Kong berdasarkan beberapa isu keselamatan yang disuarakan oleh penduduk, sesetengah kerajaan negeri, termasuk Selangor, melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah negeri, telah menggubal satu set garis panduan dikenali sebagai Skim Komuniti Berpagar dan Berpengawal.

"Tiada masalah bagi pengawal keselamatan swasta membuat rondaan di jalan awam di kawasan perumahan jika ia diatur oleh persatuan penduduk, tetapi ia perlu dibincang dengan pihak berkuasa tempatan dan polis terlebih dahulu," katanya.

Kong berkata antara garis panduan yang dikelurkan kerajaan tempatan bagi komuniti berpengawal adalah yang mempunyai kaitan dengan pembinan pondok pengawal dan penggunaan khidmat syarikat kawalan keselamatan dengan persetujuan penduduk kawasan terbabit.

Contohnya, ada pihak berkuasa membenarkan pondok pengawal dibina sekiranya permohonan mengenainya dibuat melalui persatuan penduduk dan dipersetujui sekurang-kurngnya oleh 85 peratus penduduk di sesuatu kawasan. Ia juga boleh diadakan dengan syarat persatuan penduduk perlu memastikan pondok pengawal yang didirikan itu tidak mempunyai penghadang dan lokasinya tidak menghalang lalu lintas.

Bagaimanapun, kata Kong, ada juga pihak berkuasa tempatan yang membenarkan penghadang dibina, asalkan ia mendapat sokongan kuat penduduk setempat dan tidak menghalang lalu lintas.

"Bagi komunitu berpintu pagar, tidak banyak isu yang timbul kerana ia mempunyai badan pengurusan sah yang ditubuhkan berdasarkan hak milik strata dan kebanyakan pangsapuri dan kondominium tergolong dalam komuniti ini.

"Tapi, bagi komuniti berpengawal, ia berbeza kerana ia tidak boleh digolongkan sebagai komuniti berpintu pagar," katanya.

Tiada ulasan: