Sabtu, 6 Mac 2010

Kehadiran lesu, AGM Pemuda MCA ditangguhkan

Nigel Aw & Lim Zhi Bin



Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pemuda MCA kali ke-46 ditangguhkan sebentar tadi berikutan jumlah perwakilan yang hadir tidak mencukupi untuk membolehkan perhimpunan dijalankan.

mca youth agm 060310 mah hang soonTimbalan Ketua Pemuda, Datuk Dr Mah Hang Soon mengumumkan keputusa itu jam 10.45 pagi ini, iaitu 15 minit selepas pendaftaran delegasi ditutup.

“Saya sedih (dengan ketidakhadiran ini) kerana selepas semua persiapan, kita gagal bermesyuarat yang merupakan gelanggang terbaik bagi delegasi membincangkan perkara penting yang melanda negara."

Mah yang tiba pada jam 10 pagi bersama timbalan setiausaha agung, Loh Chew June cuba menyelamatkan AGM itu dengan mengumpulkan perwakilan tetapi hanya berjaya mendapatkan 87 orang.

Mereka yang hadir itu kemudiannya membidas Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong yang tidak hadir dan menuntut beliau digantikan.

Menurut Mah, punca ketidakhadiran ramai perwakilan Pemuda adalah kerana mereka menerima sms yang bercanggah berhubung AGM hari ini.

Ditanya mengenai AGM badan induk itu esok, Mah berkata "Saya akan hadir. Bukan bagi saya untuk risau mengenai apa yang berlaku. Tugas saya ialah melaksankan tanggung jawab yang diamanahkan."

Sementara itu, Bernama melaporkan Wee dalam satu sidang media di Wisma MCA berkata beliau kecewa dengan tindakan setiausaha agung parti itu, Datuk WongFoon Meng yang meminta perwakilan Pemuda dan Wanita untuk hadir mesyuarat AGM masing-masing.

Ini kerana katanya, keputusan untuk menangguhkan AGM itu telah dibuat pada mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) kedua-dua sayap semalam.

"Kita dah nyatakan begitu lantang sekali, mereka kata kalau ada 200 orang mesyuarat itu sah, ini seolah-olah nak memecahkan Pemuda MCA," katanya.

Wee berkata surat telah dihantar kepada speaker bahawa tiada mesyuarat AGM Pemuda MCA akan diadakan hari ini.

"Apa yang kita lakukan itu (tunda AGM Pemuda) adalah mengikut perlembagaan parti dan termasuk perkara 53.2 undang-undang kecil Pemuda, memang jelas Exco mempunyai kuasa untuk tentukan hal ehwal Pemuda MCA dan itu adalah keputusan mengikut lunas undang-undang," katanya.

Beliau berkata mesyuarat AGM Pemuda ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

mca youth agm 060310 mah hang soon 02Wee juga menyangkal dakwaan kononnya sidang media itu diadakannya bertujuan memecat Timbalan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Mah Hang Soon, yang dikatakan tidak sehaluan dengannya.

Mengenai AGM parti esok, Wee berkata beliau tidak akan hadir kerana mendakwa mesyuarat itu tidak sah.

"Penyandang jawatan dah tak ada, macam mana nak adakan mesyuarat, saya bagi contoh, kalau esok ada orang nak tanya tentang pengajian tinggi atau universiti, takkan kita minta perwakilan cakap sampai (mulut) berbuih, siapa nak jawab?

"Kita ini bermesyuarat mengharapkan adanya jawapan daripada pemimpin, kalau proses tu tak lengkap, kenapa kita nak adakan satu mesyuarat (AGM)," katanya.

Beliau berkata berpandukan Perkara 33.2 perlembagaan parti, ia secara khusus menyatakan pengendalian perhimpunan agung yang mana kehadiran mereka yang patut hadir adalah penyandang jawatankuasa pusat.

"Sekarang dua pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat (CC) telah meletak jawatan bermakna mengikut artikel 41, pemilihan sepatutnya diadakan dalam tempoh masa 30 hari," kata Wee.

mca youth agm 060310 emptyMesyuarat Pemuda yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara itu sepatutnya bermula pada jam 9 pagi tetapi kurang 10 daripada 1,742 perwakilan yang hadir.
Bagaimanapun, AGM pergerakan Wanita di Wisma MCA menyaksikan lebih 350 perwakilan, - kira-kira satu perlima daripada jumlah perwakilan hadir.

Mesyuarat itu juga dipulaukan oleh ketuanya, Datuk Paduka Chew Mei Fun.

Kehadiran perwakilan di kedua-dua AGM itu dilihat sebagai pengukur, sejauh mana sokongan para perwakilan terhadap presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kini tersepit.

Majlis eksekutif kedua-dua pergerakan itu pada mesyuarat tergempar mereka semalam mengambil keputusan untuk menangguhkan AGM hari ini.

Namun jawatankuasa pusat (CC), tanpa kehadiran 21 anggotanya yang meletakkan jawatan dua hari lalu, menuntut AGM MCA yang dijadualkan pada Ahad ini diteruskan.

CC juga mengarahkan pergerakan Pemuda dan Wanita MCA mengadakan AGM mereka hari ini.

Kedua-dua pemimpin pergerakan itu adalah penyokong kuat naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiada ulasan: